Jangan jadikan Air Terjun Kampung Perlis lokasi pelupusan sampah

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
BAYAN LEPAS – Penduduk dan para pengunjung Air Terjun Kampung Perlis yang dahulunya menjadi tempat riadah digesa agar lebih bertanggungjawab dan memandang serius budaya pembuangan sampah di kawasan tersebut.
Ini adalah hasil daripada aktiviti gotong-royong yang dijalankan baru-baru ini yang mana lori pemunggahan sampah terpaksa berulang alik (keluar dan masuk) hampir 100 sekali untuk proses pengangkutan sampah terkumpul dari pusat rekreasi ke lokasi pembuangan.

PARA penduduk setempat dan sukarelawan berganding bahu membersihkan  Air Terjun Kampung Perlis di sini baru-baru ini.
PARA penduduk setempat dan sukarelawan berganding bahu membersihkan Air Terjun Kampung Perlis di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Lalulintas, Chow Kon Yeow yang turut serta dalam program tersebut menyatakan gesaan berkenaan apabila melihat keadaan pusat rekreasi yang kini terbiar dan tercemar ekoran tabiat pembuangan sampah secara berleluasa.
“Ini adalah masalah serius yang perlu ditangani segera. Pembuangan sampah yang dilakukan sedikit demi sedikit, lama-kelamaan tidak mustahil menjadi tapak pelupusan sampah.

“Meskipun kita telah membersihkan kawasan ini, tetapi ia akan mengambil masa untuk dibaikpulih seperti sediakala agar kawasan air terjun ini menjadi sebuah tempat rekreasi seperti dahulunya,’’ katanya pada Program Gotong-royong Air Terjun Kampung Perlis di sini baru-baru ini.
Seramai 200 orang penduduk setempat dan pelatih dari Malaysia Airport Berhad (MAB) telah terlibat di dalam program anjuran Kerajaan Negeri bersama penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Hadir sama, Penyelaras KADUN Bayan Lepas, Asnah Hashim; Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha dan Ahli Majlis MPPP, Iszuree Ibrahim.