GEORGE TOWN – Setiap keputusan pembangunan negeri mesti berpaksikan data yang tepat bagi memastikan dasar dan perbelanjaan awam benar-benar memenuhi keperluan rakyat, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa menekankan penggunaan data yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam proses perancangan dan pelaksanaan dasar.
“Sebagai contoh, pelaksanaan Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) yang membolehkan Kerajaan Negeri mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat, sekali gus memastikan agihan sumber yang lebih adil dan saksama berdasarkan data yang diperoleh melalui DOSM,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat perpisahan Pengarah DOSM Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan, di pejabatnya dekat sini hari ini.

Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang terus kekal sebagai negeri peneraju ekonomi negara, berdasarkan data pendapatan per kapita yang diperoleh melalui DOSM.
“Data baru-baru ini menunjukkan bahawa kedudukan Pulau Pinang berada di tangga ketiga tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Labuan, menunjukkan prestasi ekonomi negeri yang baik,” katanya.
Sementara itu, Khairolnizam memberitahu bahawa Pulau Pinang terus mempamerkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan kekal antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Tambah beliau, berdasarkan rekod bagi tahun 2024, Pulau Pinang mencatatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita (sebanyak RM75,700) melepasi purata nasional (iaitu RM53,400) sekali gus meletakkan negeri ini dalam kelompok lima negeri berpendapatan tinggi di Malaysia.
“Pencapaian ini membuktikan kekuatan struktur ekonomi negeri serta keupayaan Pulau Pinang untuk kekal kompetitif, meskipun dijangka berdepan kesan daripada tarif baharu Amerika Syarikat tahun ini,” jelasnya.
Terdahulu, dalam pertemuan itu, Khairolnizam turut memaklumkan bahawa beliau akan melapor diri ke Sabah sebagai Pengarah DOSM baharu di sana, selepas hampir tiga tahun berkhidmat di Pulau Pinang.
Beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pentadbiran Kerajaan Negeri atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Difahamkan, tugas Pengarah DOSM Pulau Pinang akan dipangku sementara oleh Timbalan Pengarah Negeri sehingga pengarah baharu dijangka melapor diri pada Disember ini.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING