GEORGE TOWN – Teras pendidikan Islam negeri terus diperkukuh melalui pelaksanaan digitalisasi pembelajaran, penyediaan infrastruktur moden serta peluasan akses pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah mengagihkan sebanyak 8,740 tablet kepada murid B40 di 263 sekolah dengan kos RM6.5 juta.
“Langkah ini bertujuan menyokong penggunaan buku teks digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan meningkatkan akses pendidikan digital, sejajar usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembelajaran abad ke-21.
“Selain itu, seramai 2,500 murid menerima manfaat Program Bantuan Cermin Mata melalui kerjasama Yayasan Sahabat Bina Negara dan Etiqa Takaful bernilai RM500,000.
“Malah, Pulau Pinang juga muncul sebagai negeri pertama mencapai 100 peratus sekolah menengah dilengkapi sekurang-kurangnya satu smartboard.
“Lebih 100 unit smartboard tambahan diagihkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain),” katanya dalam sesi Ucapan Penggulungan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.
Mengulas mengenai aspek pendidikan tinggi, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat menyatakan bahawa Kerajaan Negeri terus memperkukuh peluang pendidikan Islam melalui pelbagai inisiatif strategik.
“Usaha terbaharu adalah penyediaan asrama baharu Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) yang memuatkan 300 pelajar sudah mula beroperasi, manakala 80 pelajar dihantar ke Timur Tengah menerusi kerjasama dengan universiti antarabangsa.
“Keseluruhan usaha ini membawa pendidikan Islam negeri ke tahap lebih moden, inklusif dan berdaya saing,” katanya dalam sesi Ucapan Penggulungan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS