Paip gas milik PETRONAS di Pulau Pinang sepanjang 42km, dedah Exco

Admin
3bef6bc0 8c5f 4f4d 8956 272a8f59f458

GEORGE TOWN – Kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas hingga membawa anggaran kerugian berjumlah RM65.4 juta, turut dibincangkan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 pada pagi ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa Pulau Pinang turut menjadi laluan saluran paip gas utama Peninsular Gas Utilization (PGU) milik Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) serta dioperasi oleh PETRONAS Gas Berhad (PGB) sepanjang 42 kilometer (km).

“Panjang saluran paip gas utama PGU di Pulau Pinang (iaitu) dari Selatan ke Utara adalah kira-kira 42km yang melalui kawasan dari sempadan Sungai Kerian, Parit Buntar – Relau – Machang Bubuk – Mengkuang – Ara Kuda – Kampung Selamat – Pinang Tunggal, sebelum melintasi Sungai Muda untuk jajaran ke Kedah,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga di sini pada 19 Mei 2025.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa jajaran sisi yang berhubung dengan paip gas utama PGU adalah sepanjang 23km yang membekalkan gas asli kepada Stesen Janakuasa Prai, Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perai dan seterusnya ke Stesen Janakuasa TNB Gelugor.

“Permohonan untuk penyediaan utiliti khususnya paip gas bawah tanah adalah melalui dua kaedah iaitu pemberimilikan atau kebenaran izin lalu,” jelasnya sebagai menjawab Soalan Bertulis ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR BATRISYA IDRIS
Video : SIEW CHIA EN