Pangkalan TUDM – tidak bantah pindah jika beri impak positif

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng tidak membantah cadangan projek pemindahan lokasi Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth sekiranya projek berkenaan memberi impak positif terhadap kepentingan awam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan projek pertukaran tanah (land swap) tersebut daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

“Secara lisan, saya minta beliau (Hishamuddin) menjelaskan sama ada projek bernilai RM3 bilion berkenaan dibuat secara tender terbuka.

“Ini termasuk nama syarikat pembida dan lokasi sebenar pangkalan TUDM yang dicadangkan untuk dibangunkan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng.

Walau bagaimanapun, tambah Guan Eng, jawapan daripada Datuk Seri Hishamuddin (Hishamuddin) masih samar-samar.

“Kita (Kerajaan Negeri) masih tunggu perkembangan dan penjelasan lanjut daripada Kementerian Pertahanan,” tegasnya.

Dalam jawapan bertulis (merujuk kepada soalan lisan Dewan Rakyat Guan Eng berhubung isu tersebut) dikeluarkan, Hishamuddin menyatakan bahawa cadangan pemindahan dan pembangunan semula Pangkalan TUDM, Butterworth tersebut secara prinsipnya kerajaan telah bersetuju akan dijalankan melalui kaedah ‘land swap’ oleh (usahasama) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) – syarikat TSR Capital Berhad (TSR) dan Pembinaan Bukit Timah Sdn. Bhd. (PBT).

Sebagai balasan, pihak syarikat akan membina semula fasiliti TUDM iaitu, Pangkalan Udara (PU) Butterworth di tanah yang dicadangkan yang masih belum dimuktahirkan.

Kesemua persetujuan kedua-dua belah pihak berkenaan akan diputuskan setelah segala cadangan dan persetujuan balas kedua-dua pihak dimuktamadkan.

Terdahulu, laporan The Edge Financial Daily (The Edge) menyatakan bahawa TSR memaklumkan kepada Bursa Malaysia, pada 5 Februari lalu bahawa pihaknya telah menerima kelulusan kerajaan melalui usahasama LTAT, TSR dan PBT untuk membangunkan sebuah tapak baharu bagi pangkalan TUDM di Pulau Pinang melalui perjanjian pertukaran tanah.