Pangsapuri berusia 18 tahun dinaiktaraf, dicat semula

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

 

BAYAN BARU – Bagi 180 pemilik rumah Pangsapuri Mahsuri, Bandar Bayan Baru , di sini, usaha Kerajaan Negeri dan Perbandanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengambil inisiatif khas menaiktaraf bangunan berusia 18 tahun yang begitu bermakna buat mereka.

Penyelenggaraan projek perumahan tersebut telah diserahkan oleh PDC kepada Perbadanan Pengurusan Pangsapauri Mahsuri melalui Mesyuarat Agung tahunan (AGM) Pertama yang diadakan pada Mac 2004, di mana memohon agar PDC mempertimbangkan supaya menjalankan kerja-kerja pengecatan semula projek perumahan tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengecatan semula Pangsapuri Mahsuri umpama ‘impian menjadi kenyataan’ buat semua penduduk yang mengimpikannya.

Pihak PDC telah membina sejumlah 12,869 unit perumahan bertingkat di seluruh negeri Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, 102 Perbadanan Pengurusan (MC) yang merangkumi 6,716 unit telahpun berjaya diserahkan. Salah satu daripadanya adalah Pangsapuri Mahsuri.

Penduduk (Pangsapuri Mahsuri) amat bertuah kerana menjadi pangsapuri pertama menerima projek pengecatan semula melalui kaedah perkongsian kos 80/20 sepertimana yang telah diluluskan oleh Lembaga PDC,” ujarnya semasa Majlis Penyerahan Siap Kerja Pengecatan Semula Pangsapuri Mahsuri di sini baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, Lembaga PDC telah meluluskan satu polisi baru berkaitan pengecatan semula bagi bangunan perumahan bertingkat yang telah dibangunkan oleh PDC melalui tawaran perkongsian kos 80/20 di antara pihak PDC dan MC.

Kerja-kerja pengecatan semula yang bermula November 2011 melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM335,555.00. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM268,444.00 atau 80% kos pengecatan adalah ditanggung oleh PDC. Manakala, RM67,111.00 atau baki 20% lagi oleh MC.

Pangsapuri Mahsuri bukan sahaja telah mendapat wajah baru yang lebih cantik tetapi juga membantu meningkatkan lagi harga pasaran bagi unit-unit perumahan di pangsapuri ini,” katanya.

Hadir sama Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Mahsuri, Teoh Jin Aik.

SALAH seorang penduduk berjabat tangan dengan Ketua Menteri ekoran inisiatif Kerajaan Negeri dan PDC menaiktaraf pangsapuri berusia 18 tahun tersebut pada Majlis Penyerahan Pengecatan Semula Bangunan Pangsapuri Mahsuri di sini baru-baru ini.
SALAH seorang penduduk berjabat tangan dengan Ketua Menteri ekoran inisiatif Kerajaan Negeri dan PDC menaiktaraf pangsapuri berusia 18 tahun tersebut pada Majlis Penyerahan Pengecatan Semula Bangunan Pangsapuri Mahsuri di sini baru-baru ini.