Pendidikan Malaysia terbaik ‘lawak antarabangsa’ Muhyiddin – Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihat supaya tidak membuat “lawak antarabangsa” kononnya mutu pendidikan anak-anak di Malaysia jauh lebih baik berbanding di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, Indeks Daya Saing Global yang dikeluarkan oleh Laporan Ekonomi Dunia bagi tahun 2011-2012 melaporkan mutu pendidikan di ketiga-tiga negara kelompok Eropah itu jauh lebih baik berbanding di tanah air ini.

“Dia (Muhyiddin) telah menjadikan Malaysia modal lawak antarabangsa dengan mendakwa bahawa mutu pendidikan negara kian baik berbanding Amerika Syarikat, UK dan Jerman.

“Jika ya, Tan Sri Muhyidin perlu menjawab mengapa tidak ada pemenang Hadiah Nobel tunggal yang merupakan seorang warganegara Malaysia dan tidak ada sebuah universiti Malaysia antara 200 Universiti terkemuka di dunia.

“Ini adalah satu kenyataan yang terlampau tidak tepat yang direka semata-mata untuk propaganda politik yang hanya akan mengurangkan kedudukan berprestij Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia mungkin tersalah petik laporan atau tidak meneliti keseluruhan aspek yang dilihat serta dilaporkan dalam laporan antarabangsa itu.

Laporan global itu mendedahkan, hampir semua aspek menyaksikan Malaysia berada pada tangga yang lebih rendah dari anak tangga ke-21.

Berikut adalah data yang tidak didedahkan oleh Muhyiddin:

* Kualiti Pendidikan Rendah (tangga ke-21)

* Pendaftaran Pendidikan Rendah (tangga ke-61)

* Pendaftaran Pendidikan Menengah (tangga ke-101)

* Pendaftaran Pendidikan Tertiari (tangga ke-66)

* Kualiti Pendidikan Matematik dan Sains (tangga ke-23)

* Kualiti Sekolah Pengurusan (tangga ke-27)

* Akses Internet di sekolah-sekolah (tangga ke-36)

* Ketersediaan Perkhidmatan Penyelidikan dan Latihan (tangga ke-18)

“Dalam hampir semua langkah-langkah lain terhadap pendidikan, kita menduduki tempat yang lebih rendah daripada 21.

“Kedudukan kita (Malaysia) di tangga ke-101 (dari aspek Pendaftaran Pendidikan Menengah) meletakkan kita di bawah Thailand (94), Indonesia (91) Brunei (35) dan Singapura (17) di rantau ASEAN,” ujar beliau.