Paras air empangan Pulau Pinang kekal stabil – PBAPP

Admin
whatsapp image 2025 06 18 at 2.45.03 pm (4)

GEORGE TOWN – Paras air di tiga empangan utama Pulau Pinang pada tahap memuaskan meskipun negara menghadapi cuaca panas baru-baru ini.

 

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyatakan bahawa taburan hujan di Empangan Teluk Bahang mencatatkan 114.5 milimeter (mm) dari 1 hingga 18 Jun 2025 berbanding 167mm pada Mei lalu.

 

“Empangan Air Itam pula mencatatkan 71.5 mm dalam tempoh yang sama berbanding 74.5mm pada bulan sebelumnya iaitu meningkat daripada 62 peratus pada 1 Jun kepada 64.1 peratus pada 18 Jun 2025.

 

“Manakala Empangan Teluk Bahang mencatatkan peningkatan daripada 51.8 peratus kepada 53.1 peratus pada tarikh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

PBAPP berkata, Empangan Mengkuang yang merupakan empangan terbesar di negeri ini mengekalkan kapasiti efektif melebihi 90 peratus dengan paras semasa 91.2 peratus pada 18 Jun 2025.

 

“Ini bermakna Empangan Mengkuang mampu membekalkan air selama 132 hari sekiranya tiada hujan turun dalam tempoh tersebut manakala Empangan Air Itam dan Teluk Bahang masing-masing selama 61 hari dan 157 hari,” jelasnya.

 

Menurut PBAPP, pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2025 (AIDAP 2025) memainkan peranan penting dalam menstabilkan kapasiti air di ketiga-tiga empangan.

 

“Malah, pelaksanaan ini turut disokong oleh peningkatan sistem aliran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau.

 

“Kerja-kerja penyambungan paip di Sungai Perai yang selesai pada April 2025 telah meningkatkan bekalan air terawat ke bahagian pulau kepada purata 419 juta liter sehari (MLD) berbanding 367 MLD pada bulan Mac dan April.

 

“Justeru, PBAPP menyeru penduduk di negeri ini untuk terus menggunakan air dengan berhemat bagi memastikan bekalan air kekal stabil untuk tempoh lebih lama.

 

“Sikap berhemat dalam penggunaan air oleh pengguna bukan sahaja dapat memanjangkan tempoh kapasiti efektif empangan, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan bekalan air di seluruh negeri,” tegasnya.

 

PBAPP juga menasihatkan orang awam untuk melaporkan kejadian paip pecah di kawasan kejiranan atau tempat awam bagi membolehkan tindakan segera diambil.

 

“Sebagai langkah tambahan, PBAPP terus bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memantau keadaan cuaca dan merancang tindakan proaktif bagi menjamin kelestarian bekalan air negeri,” katanya.

Oleh: M. DANESWARAN
Gamber: LAW SUUN TING