Pasang mikrocip elak tong sampah hilang

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal memasang mikrocip pada tong-tong sampah di sini bagi membasmi masalah kecurian yang dilaporkan.

Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong berkata, inisiatif yang diputuskan melalui Jawatankuasa Mesyuarat tersebut adalah bagi mengelakkan pihak Majlis daripada terus mengalami kerugian saban tahun.

“Bagi mengekang perkara tersebut daripada terus berleluasa dan mendatangkan kerugian kepada Majlis, satu cadangan dan alternatif akan dilaksanakan agar ianya lebih mudah dikesan.

“Kita (Majlis) tak mahu tong sampah yang hanya mempunyai label semata- mata, sebaliknya, juga mempunyai mikrocip agar memudahkan pihak
MPPP mengesan jika berlaku sebarang kecurian pada masa hadapan,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MPPP, Iszuree Ibrahim, Muhammad Sabri Md. Osman, Lim Cheng Hoe, L. Prem Anand dan Tahir Jalaluddin Hussain.

Menurut Ah Teong, MPPP terpaksa memperuntukkan RM100,000 setiap tahun bagi menggantikan tong sampah baru dan yang rosak. “Pada tahun lalu (2012), sebanyak 27 unit tong sampah 660 liter dan 62 unit (120 liter) dicatatkan hilang.

“Justeru, MPPP kini sedang bekerjasama dengan Penasihat Undang- undang (PU) untuk mengenal pasti perundangan berkaitan serta bersesuaian yang boleh dikenakan kepada mereka yang didapati mencuri harta MPPP,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pihak Majlis memohon para pengusaha dan pengilang tong sampah supaya tampil memberikan idea serta pandangan berhubung masalah berkenaan.

“Malah, MPPP turut meminta kerjasama dan pemahaman masyarakat setempat berhubung hal tersebut,’’ ujar Ah Teong.