BUKIT TAMBUN – Pembinaan Pasar Awam dan Kompleks Penjaja Bandar Cassia dekat Batu Kawan bakal membawa limpahan sosioekonomi dan membuka lebih banyak peluang perniagaan baharu kepada masyarakat setempat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek yang dibina di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seluas 7.69 ekar itu bakal menempatkan 82 unit gerai, ruang penjaja di kompleks makanan (32), gerai tertutup (20); petak ruang penjaja terbuka (78) dan ruang parkir (449).
Beliau berkata, pembinaan projek pasar awam berkenaan merangkumi kerja-kerja pembinaan bangunan dan infrastruktur yang dijangka siap pada 23 Jun 2027.
“Pemilihan lokasi projek ini juga dibuat secara strategik, setelah mengambil kira faktor pertumbuhan pesat kawasan perumahan, pembangunan industri dan institusi pendidikan di Batu Kawan.
“Terletak hanya tiga kilometer dari Jeti Batu Musang, lokasi ini menawarkan akses bukan sahaja kepada lokaliti setempat malah juga penduduk dari kawasan sekitarnya.
“Projek ini turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf Jalan Batu Kawan sedia ada, sekali gus bakal memperkukuh jaringan mobiliti dan meningkatkan kelancaran aliran trafik kelak.
“Apabila siap kelak, pasar awam ini akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk pengurusan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembinaan pasar awam berkaitan dekat sini sebentar tadi.



Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar; Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Alwi Zainal Abidin; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah; Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Ts. Norhizami Abu Hasan dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim.
Mengulas lanjut, Kon Yoew memberitahu bahawa Pasar Awam dan Kompleks Penjaja Bandar Cassia merupakan yang pertama dan terbesar dibina di kawasan Parlimen Batu Kawan setakat ini.
“Sebab mengapa kita tunggu selepas 20 tahun untuk membina pasar awam berkaitan adalah kerana sebelum ini populasi di Batu Kawan masih belum sampai pada peringkat yang memerlukan sebuah pasar yang begitu besar.
“Kini, tiba masanya kita (Kerajaan Negeri) menyediakan segala kemudahan yang dirancang termasuk pembinaan masjid, rumah ibadat, pasar awam, dewan, sekolah dan sebagainya apabila Batu Kawan sudah mencapai tahap pembangunan seperti yang ada hari ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Kon Yeow menyatakan bahawa Batu Kawan sememangnya menjadi tanggungjawab penting kepada PDC bagi menjana aktiviti pembangunan ekonomi, industri dan komersial untuk masa kini dan masa hadapan.
“Bagi komponen industri, kita sudah mencatatkan kejayaan yang baik kerana tanah-tanah yang disediakan di bawah Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) boleh dikatakan hampir 100 peratus terjual dan telah didirikan kilang-kilang.
“Kita juga masih menunggu beberapa komponen yg penting yang sudah ditawarkan termasuk Medi-City yang kini berada pada peringkat perancangan akhir sebelum kerja-kerja pembinaan boleh dimulakan, dan juga penyediaan tapak bagi pembinaan Projek Perumahan Bakat Baru Madani, selain satu lagi tapak di Seberang Jaya yang bakal dilancarkan pada bulan ini.
“Justeru, kita berharap agar kawasan Batu Kawan bukan sahaja menjadi tapak pembangunan, sebaliknya juga katalis untuk melonjakkan Pulau Pinang ke satu tahap yang lebih tinggi dari segi percambahan industri, komersial dan lain-lain,” ulasnya lanjut.
Sementara itu, Aziz menjelaskan bahawa pembangunan Medi-City seluas kira-kira 230 ekar bakal menelan kos melebihi RM10 bilion.
“Projek ini akan dilaksanakan mengikut fasa dengan fasa 1 seluas 50 ekar kini dalam proses mendapatkan kebenaran merancang yang mungkin akan dikemukakan kepada MBSP pada September ini,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS