Pasar Awam Tasek Gelugor, Bandar Tasek Mutiara ditutup sementara akibat kes COVID-19 – Datuk Bandar MBSP

SR. Rozali Mohamud

SEBERANG JAYA – Sejak 24 Ogos 2021 operasi perniagaan di Pasar Awam Tasek Gelugor ditutup selama 10 hari atau sehingga dimaklumkan kelak susulan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati terdapat empat kes positif COVID-19 yang melibatkan penjaja di pasar tersebut.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa penutupan operasi perniagaan melibatkan 66 peniaga yang menjalankan perniagaan di dalam pasar tersebut, di samping lapan penjaja lain di luar premis awam tersebut.

“Sehubungan itu, MBSP menyeru agar mana-mana
peniaga, pembantu dan orang awam yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat diminta untuk menjalankan ujian saringan segera atau menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) menerusi talian 04-575 1833 bagi mendapatkan janji temu,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Berkebun Di Halaman Rumah 2021 yang dilangsungkan secara hibrid dari Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Ogos 2021.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod serta dua Ahli Majlis, P. David Marshel dan Muhamad Suzuki Ahmad.

Mengulas lanjut, Rozali turut meminta mereka yang berkenaan untuk memaklumkan hasil keputusan ujian calitan yang telah dibuat sama ada di klinik swasta atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan.

“Hanya peniaga yang disahkan negatif sahaja akan dibenarkan masuk berniaga semula mulai 3 September 2021 atau tarikh lain sekiranya penutupan sementara ini dilanjutkan oleh PKD SPU dengan mengemukakan bukti saringan yang telah dibuat.

“Keputusan ujian capitan (dengan menggunakan kaedah) RT-PCR atau RTK-Antigen ini juga terpakai sekiranya arahan penutupan pasar awam ini dilanjutkan dengan arahan MBSP atau PKD SPU,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara turut ditutup selama tiga hari sehingga 28 Ogos atau sehingga dimaklumkan semula ekoran terdapat lima individu disahkan positif COVID-19 baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP