PDC sumbang Bakul Prihatin RM7,500 kepada masyarakat lokal

PANTAI JEREJAK – Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar menzahirkan hasrat mengagihkan sumbangan Bakul Makanan bernilai RM7,500 kepada masyarakat yang memerlukan.

Katanya, pendekatan tersebut demi mengeratkan lagi hubungan PDC dan masyarakat terutama semasa mengharungi waktu pandemik COVID-19.

“Selepas mendapat jawatan (berkaitan) tersebut, saya nampak di situ ada jurang yang perlu kita (PDC) rapat dan kuatkan.

“Banyak sebenarnya program yang kita (PDC) sudah aturkan malangnya sekarang ini kita tidak disarankan untuk berjumpa bersemuka.


“Cuma macam hari ini kita bekerjasama dengan pejabat ADUN Pantai Jerejak dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Nibong besar untu menyantuni asnaf di kawasan tersebut terutamanya yang terkesan akibat COVID-19,” ujar Mohd. Bazid ketika berucap pada Program Sumbangan Bakul Prihatin PDC kepada asnaf MPKK Sungai Nibong Besar secara maya petang tadi.

Hadir sama, Persatuan Kakitangan Islam PDC, Nazril Ghulam Hussain; Timbalan Pengerusi Persatuan Kakitangan Islam PDC merangkap Pengurus Projek, Ku Farhana Ku Yahya; Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi PDC, Zulkifli Ismail dan Bendahari Biro Pendidikan dan Kebajikan PUSPANITA Pulau Pinang, Lim Mei Choo.

Turut serta,Bendahari MPKK Sungai Nibong Besar, Mohd. Hamdan Mamat; Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Nibong Besar, Shafizal Mohd. Shawal dan Pegawai Khas ADUN Pantai Jereja, Lee Boon Heng.

Serentak dengan itu, Mohd. Bazid mengumumkan sumbangan RM7,500 berbentuk bakul makanan bernilai RM150 setiap satu telah disumbangkan melalui tiga persatuan berkaitan di bawah PDC kepada MPKK Sungai Nibong Besar baru-baru ini.

“Sebelum ini pun pelbagai bantuan kita sudah berikan, termasuk bantu sekolah-sekolah dan sebagainya.

“Jadi, apabila kita santuni masyarakat bersama MPKK dan pejabat ADUN, kita juga dapat betulkan persepsi masyarakat kepada PDC,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD