Patuh syariah, HIPP tawar kepakaran perubatan Islam – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yakin pembinaan hospital patuh syariah pertama di negeri ini, Hospital Islam Pulau Pinang (HIPP) yang bernilai RM280 juta bukan sahaja mampu menampung permintaan terhadap perkhidmatan perubatan patuh syariah, malah akan menjadi destinasi pilihan untuk pelancongan kesihatan Malaysia.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, HIPP yang akan dibina di kawasan seluas 10,265 meter persegi (mp) di Bandar Bayan Baru adalah terdiri daripada bangunan 14 tingkat (termasuk tujuh tingkat tempat letak kereta) dengan kemudahan 200 katil bagi menampung keperluan pesakit.

“Projek ini adalah hasil usahasama antara Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkonsepkan wakaf.

“Penumpuan akan diberikan kepada bidang perubatan pediatrik, ginekologi, endoskopi dan kardiologi, malah, ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran (teaching room) dan ruang perniagaan,” ujarnya pada ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Kementerian Kesihatan telah memberi kelulusan medical zoning pada Disember 2014 dan kelulusan bagi menubuhkan atau menyelenggara kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan swasta (25 Ogos 2015).

Manakala, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memberikan kelulusan merancang pada 15 November lalu.

Tuntas itu, Abdul Malik memberitahu, Hospital Pakar An-Nur, yang juga merupakan sebuah hospital patuh syariah telah dipilih sebagai operator HIPP setelah melalui proses pemilihan ketat.

“Pembinaan ini sekaligus dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan, terutamanya di dalam bidang kepakaran kedoktoran dan sebagai sebuah pusat perubatan Islam yang patuh syariah kepada semua rakyat negeri dan kawasan sekitarnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Dalam pada itu, Abdul Malik turut mengumumkan cadangan penubuhan sebuah Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang (SIAPP) di atas sebidang tanah yang diluluskan Kerajaan Negeri di Mukim 10, Daerah Barat Daya dengan keluasan 4.85 ekar.

“Penubuhan SIAPP ini dilihat akan meningkatkan taraf pendidikan umat Islam di Pulau Pinang dengan melahirkan pelajar yang berpotensi dan mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris dan Arab, seterusnya juga membolehkan mereka (para pelajar) menyebarkan syiar Islam di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dengan kos RM65 juta, SIAPP bakal dilengkapi sembilan tingkat blok pentadbiran dan akademik serta 10 tingkat blok bangunan asrama pelajar, dewan serbaguna dan kompleks sukan