PBAHB lulus dividen akhir satu peringkat 2.25 sen sesaham, catat keuntungan bersih tertinggi

Admin
img 20250626 wa0020

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Berhad (PBAHB) meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.25 sen sesaham kepada 7,157 pemegang saham bagi tahun 2025.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tarikh kelayakan ditetapkan adalah pada 15 Julai 2025, dengan jumlah unjuran agihan sebanyak RM7.5 juta pada 1 Ogos 2025.

“Tahun 2025 menandakan tahun ke-24 berturut-turut PBAHB membayar dividen kepada para pemegang sahamnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PBAHB ke-25 dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Pathmanathan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Dr. Mary Ann Harris.

img 20250626 wa0026img 20250626 wa0027img 20250626 wa0017

Kon Yeow menyatakan bahawa PBAHB mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM144.167 juta pada 2024, iaitu merupakan yang tertinggi dalam sejarah 26 tahun syarikat itu yang mana sebahagian besarnya dijana hasil daripada semakan tarif air dilaksanakan mulai 1 Februari 2024.

“Ini merupakan pencapaian cemerlang, namun bukan bertujuan untuk mengisi tabung kewangan PBAHB atau mengkayakan syarikat semata-mata.

“Sebaliknya, PBAHB perlu melabur kira-kira RM2.099 bilion bagi menyiapkan enam projek infrastruktur bekalan air baharu di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) bagi menjamin bekalan air berterusan di negeri ini.

“Selain itu, perbelanjaan modal (CAPEX) PBAPP yang diunjurkan bagi menaik taraf insfrastruktur sedia ada adalah sebanyak RM86.8 juta pada tahun 2025.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa semakan tarif adalah tidak mencukupi untuk membiayai projek-projek yang diperlukan bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini menjelang tahun 2030,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, PBAHB dan anak syarikat penuhnya, PBAPP mencatatkan beberapa rekod baharu yang membanggakan pada tahun 2024, termasuk rekod purata pengeluaran air terawat sebanyak 1,208 juta liter sehari (JLH) dan merupakan yang terbesar dalam sejarah bekalan air di negeri ini.

“Dengan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) sebanyak 28 peratus pada tahun 2024, dan jumlah penggunaan air yang direkodkan berjumlah 870 JLH iaitu lebih rendah daripada kadar purata kebangsaan (34.6 peratus).

“Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan yang mana PBAPP telah diarahkan untuk terus berusaha bagi menurunkan kadar NRW bagi negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAHB.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa PBAPP juga berjaya mencapai kapasiti reka bentuk maksimum 1,726 JLH pengeluaran air terawat dengan pembukaan rasmi Pakej 12A Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada 2 September tahun lepas.

“Pencapaian ini telah membolehkan Pulau Pinang mencapai margin rizab rawatan air sebanyak 30 peratus pada tahun 2024 iaitu lebih tinggi daripada purata kebangsaan (15.3 peratus).

“Namun begitu, cabaran utama PBAPP adalah untuk membolehkan pengagihan air terawat yang lebih baik dari LRA Sungai Dua, terutamanya ke kawasan hujung paip agihan (HPA) dan kawasan tanah tinggi di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Barat Daya (BDB),” ujarnya.

Ditanya mengenai Projek Air Perak-Pulau Pinang, Kon Yeow menjelaskan bahawa kira-kira 99.9 peratus aspek teknikal pelaksanaan projek tersebut adalah melibatkan negeri Perak sebelum dijual kepada Pulau Pinang.

“Di peringkat Pulau Pinang, kita akan terlibat dengan rundingan komersial yang mana projek ini akan menjadi sumber tambahan selain bekalan air mentah dari Sungai Muda.

“Namun, dengan pelaksanaan WCP 2030, kami juga melihat untuk memanfaatkan air mentah dari Empangan Mengkuang selain melaksanakan beberpa projek menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di Sungai Perai.

“Kami juga melaksanakan projek LRA Sungai Kerian yang merupakan salah satu lagi sumber air mentah tambahan bagi menjamin bekalan air di negeri Pulau Pinang,” katanya.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Persekutuan juga sedang melaksanakan satu projek di Sungai Muda, termasuk pembinaan pintu baraj baharu dan rumah pam di Lahar Tiang untuk mengalihkan air ke Empangan Mengkuang semasa musim hujan.

“Inisiatif ini melibatkan kos kira-kira RM600 juta dan dijangka mampu menyalurkan kapasiti air tambahan sebanyak 400 JLH.

“WCP 2030 adalah penyelesaian sementara sebelum projek Perak-Pulau Pinang dilaksanakan, yang mungkin mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan,” katanya.

Sementara itu, Pathmanathan menyatakan bahawa kerja-kerja menaik taraf benteng Sungai Muda akan meningkatkan kapasiti air kepada 1,500 JLH.

“Penambahbaikan infrastruktur terusan pula akan membolehkan PBAPP mencapai pengeluaran air terawat 1,700 JLH, yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk memaksimumkan pengambilan air mentah daripada sumber sedia ada,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS