PBAPP taja juara mountain bike, Adam Faroze Ahmed

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAGAN DALAM – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) bersetuju menaja juara lumba downhill mountain bike (DHMTB), Adam Faroze Ahmed, 26, dalam usaha membangunkan sukan berbasikal bukit di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Pengerusi PBAPP berkata, persetujuan PBAPP untuk memberi penajaan berjumlah RM15,000 adalah bagi menampung perbelanjaan Adam Faroze menyertai enam lagi perlumbaan musim ini.

“Penajaan ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian Adam (Adam Faroze) dalam sukan berbasikal bukit selama 11 tahun sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menyokong impiannya mengharumkan nama Pulau Pinang dalam sukan berbasikal bukit,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa.

Tambah beliau, penajaan tersebut juga selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dan PBAPP untuk menggalakkan
kecemerlangan dalam apa jua sukan dan merangsang atlet-atlet negeri untuk terus cemerlang.

Selain menggunakan logo PBAPP, Guan Eng memberitahu bahawa Adam Faroze juga akan menggunakan perkataan ‘Pulau Pinang’ pada jersi serta memuat naik video perlumbaannya di laman sesawang pasukannya www. FakawiBikes.com, Facebook (www.facebook.com/adam.faroze) dan di vimeo.com (vimeo.com/downhill/videos).

Dalam pada itu, Adam Faroze ketika ditemui sejurus selepas majlis penyerahan cek penajaan di sini berkata, beliau sangat berbesar hati dengan penajaan PBAPP dan akan menjadikan ia semangat untuk terus berjuang dalam perlumbaan yang bakal disertai nanti.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik demi sukan yang saya minati dan juga demi nama baik Pulau Pinang di mata dunia,” jawabnya ringkas.

Adam Faroze merupakan anak jati Pulau Pinang dan pelumba basikal bukit semi profesional yang telah menjuarai beberapa siri perlumbaan, antaranya, cabaran MTB Kenyir di Terengganu, Western Australia State Downhill Race Siri 3 di Perth dan Kiara Downhill Domination di Kuala Lumpur.

Memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa dari University of Bristol, United Kingdom, Adam
Faroze mempunyai kebolehan untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.