GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Operator Perkhidmatan Bekalan Air Terbaik’ di Malaysia dalam Majlis Penyampaian Anugerah Industri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini.
Dalam pada itu, PBAPP turut menerima pengiktirafan sulung ‘Anugerah Kecekapan’ dalam kategori industri air sekaligus menjadi cerminan kecekapan Pulau Pinang dalam pengurusan dan perkhidmatan bekalan air.
Pengerusi PBAPP yang juga Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa PBAPP adalah badan terulung dalam pengurusan dan perkhidmatan bekalan air dalam negara.
“Kita (Kerajaan Negeri) gembira kerana Kerajaan Persekutuan telah secara rasmi mengiktiraf pencapaian PBAPP dalam pengurusan bekalan air walaupun Pulau Pinang mempunyai sumber air yang terhad,” katanya dalam suatu kenyataan akhbar di sini baru-baru ini.
Majlis penganugerahan disempurnakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili. Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa berkata, anugerah yang diterima PBAPP menunjukkan pencapaian dan kejayaan 1,210 kakitangannya dalam merealisasikan pengiktirafan tersebut.
“Dalam memberi perkhidmatan, kami warga PBAPP tidak pernah menjangka untuk memenangi anugerah, tetapi percaya bahawa kami adalah yang terbaik dalam apa jua yang kami lakukan,” jelasnya yang mendedikasikan anugerah tersebut kepada Pengerusi, ahli lembaga pengarah dan kakitangan PBAPP.
Antara petunjuk prestasi utama PBAPP pada tahun 2012 adalah pencapaian liputan bekalan air, iaitu 100 peratus bagi liputan dalam bandar dan 99.7 peratus bagi liputan luar bandar.
Selain itu, PBAPP juga telah berjaya mematuhi standard Kualiti Air Kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mencatat 17.6 peratus air tidak terhasil iaitu terendah dalam negara.
PBAPP merupakan anak syarikat milikan penuh PBA Holdings Berhad yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia.