GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan cuba membantu pemaju swasta termasuk mengetepikan caj-caj tertentu dalam usaha membangunkan dan pulih semula bangunan-bangunan atau projek-projek terbengkalai di negeri ini.
Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Perancangan Bandar dan Luar Bandar dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Hexagon Tech Park (Hexagon) di sini baru-baru ini.
Beliau memberitahu, sehingga Julai 2013, terdapat empat projek dikenalpasti sebagai terbengkalai iaitu Majestic Heights, Taman Mengkuang Heights, Taman Bayu Aman dan Taman Orkid Indah, manakala empat projek swasta dikategori sebagai lewat dan 13 projek lagi dikategori sebagai ‘sakit’ di sini.
“Kita (Kerajaan Negeri) memandang serius hal ini kerana projek-projek terbengkalai melibatkan kewangan pembeli dan pemaju tidak bertanggungjawab ini telah meletakkan ramai pembeli yang tidak bersalah dalam kesusahan,” katanya.
Tambah Jagdeep, dalam memastikan projek-projek akan datang tidak tergolong dalam kategori terbengkalai atau lewat, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu merancakkan pemantauan termasuk ke tapak dan menyediakan laporan berkala pembangunan projek berkenaan.
“Malah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) boleh juga membantu PBT dan Kerajaan Negeri dengan melaporkan sekiranya terdapat kelewatan atau projek berkenaan bermasalah,’’ jelas beliau.
Menurut rekod, sehingga Jun lalu, terdapat kira-kira 4,002 projek perumahan yang dalam perancangan dan pembangunan di Malaysia.
Dari jumlah tersebut, sejumlah 3,474 adalah mengikut jadual, 53 dikategorikan lewat, 201 dikategorikan sebagai ‘sakit’ (30 hingga 90 peratus lewat), terbengkalai (69) dan projek dibangunkan tanpa lessen (205).
Rentetan itu, Kerajaan Pusat telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Projek Terbengkalai dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.
Sehingga Jun lalu, sejumlah RM65,907,572.89 telah dibelanjakan untuk membaik pulih semula projek-projek terbengkalai dalam negara.