PBIM 2025 terus diperkukuh, Batu Kawan jadi tumpuan pelari antarabangsa

Admin
9b43fa70 288e 4d91 9e38 a73afd824902

GEORGE TOWN – Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2025 bakal menampilkan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan larian ikonik Pulau Pinang itu terus kekal sebagai antara acara terkemuka di rantau ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata Kerajaan Negeri memberikan tumpuan kepada pengukuhan penajaan, penganjuran aktiviti satelit, festival komuniti serta pengenalan pakej ‘racecation’ untuk edisi tahun 2025.

“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan sektor pelancongan sukan terus berkembang dan memberikan pulangan maksimum kepada negeri, di samping memperkukuh ekosistem pelancongan sukan selaras Visi Penang2030 dengan PBIM sebagai acara utama.

“Seramai 22,609 pelari telah menyertai PBIM 2024 merangkumi kategori Full Marathon (4,287 peserta), Half Marathon (10,237 peserta) dan 10 kilometer (8,085 peserta).

“Malah, fokus turut diberikan kepada peningkatan kemudahan awam, kawalan trafik dan keseluruhan pengalaman peserta bagi memastikan PBIM kekal sebagai acara bertaraf antarabangsa dan ikon pelancongan sukan negeri,” jelasnya semasa menjawab sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 14 November 2025.

Mengulas lanjut, Hong Wai turut memaklumkan bahawa acara tersebut julung kali dianjurkan di Batu Kawan pada tahun 2024 dengan laluan merentasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).

“Pemilihan lokasi baharu ini menawarkan ruang permulaan dan penamat yang lebih luas serta logistik yang lebih efisien.

“(Kawasan) Batu Kawan menawarkan pengalaman lebih selesa melalui akses mudah, ruang lapang dan fasiliti yang tersusun.

“Secara tidak langsung, penganjuran PBIM 2024 telah berjaya merancakkan sektor ekonomi setempat di Seberang Perai dengan kehadiran ribuan pelari dan pengiring menjadikan kawasan Batu Kawan dijenamakan sebagai destinasi acara sukan antarabangsa,” jelasnya bagi menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Difahamkan, selepas PBIM 2024, sebanyak lapan acara larian diadakan di kawasan Aspen Vision City termasuk Larian Sarapan MILO, Larian Jabil dan Larian Rotary Darkness Into Light, sekali gus mengukuhkan kedudukan Batu Kawan sebagai hab larian yang semakin berkembang.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN