PBIM terus promosi segmen sukan, pelancongan Pulau Pinang

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PANTAI JEREJAK – Penang Bridge International Marathon 2017 (PBIM) terus unggul sebagai larian jambatan utama di Malaysia apabila mencatatkan penyertaan kategori marathon penuh (Full Marathon) seramai 7,000 peserta.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah PBIM 2017 di sini baru-baru ini.

“Saya difahamkan sambutan 7,000 peserta bagi kategori marathon penuh, 42 kilometer (km) ini adalah paling ramai sejak ia dilancarkan, dan jumlah keseluruhan penyertaan untuk semua kategori adalah 35,000 peserta.

“Ini terus menjadikan PBIM salah satu acara yang terkenal dalam mempromosikan segmen sukan pelancongan bukan sahaja di Malaysia, bahkan pada peringkat antarabangsa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang.

Pada acara tersebut, Kategori Marathon Penuh Keseluruhan dikuasai atlet dari Kenya, Josphat Kiptanyi Too dengan catatan masa 2 jam 23 minit.

Bagi Marathon Penuh Kategori Tempatan Lelaki, menyaksikan Nik Fakaruddin Ismail muncul juara denggan catatan 2 jam 43 minit, manakala Loh Chooi Fern unggul untuk peserta wanita tempatan, 3 jam 28 minit.

Antara kategori lain yang dipertandingkan termasuk Half Marathon 21km, Quarter Marathon 10km dan Fun Run 8km.

Turut menjadi rebutan pada acara tersebut adalah sebuah kereta Volkswagen yang disumbangkan oleh penaja sebagai hadiah cabutan bertuah utama.