PBT laksana garis panduan demi menjaga kelangsungan peniaga tempatan pemastautin, kata Ketua Menteri

Admin
cky

GEORGE TOWN – Garis panduan berhubung permohonan permit perniagaan sementara di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menetapkan pemohon mestilah peniaga tempatan pemastautin telah dilaksanakan sejak lebih lima tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa garis panduan tersebut telah dilaksanakan demi menjaga kelangsungan perniagaan peniaga tempatan di negeri ini.

Walau bagaimanapun, permohonan permit (perniagaan sementara) tersebut adalah terhad khususnya ketika menjelang perayaan seperti Deepavali.

“Sekiranya, penganjuran karnival adalah di luar musim-musim perayaan, kita (Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan) tidak menghalang mana-mana peniaga dari luar untuk menganjurkannya.

“Mereka (peniaga bukan pemastautin dan penganjur dari luar Pulau Pinang) masih boleh memohon dan menganjurkan sebarang karnival di sini dalam tempoh yang dibenarkan (oleh pihak berkuasa tempatan),” ujarnya pada sidang media di Komtar sebentar tadi.

Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap soalan pemberita berhubung video yang tular di TikTok, memaparkan pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan notis kompaun kepada peniaga yang terlibat dalam satu karnival jualan di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Dalam video tersebut juga, peniaga berkenaan dimaklumkan oleh pegawai penguat kuasa bahawa mereka melanggar peraturan iaitu peniaga bukanlah pemastautin di Pulau Pinang dan menjual barangan bertemakan kebudayaan India di luar tempoh yang dibenarkan.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa PBT sebelum ini menerima banyak rungutan dan bantahan daripada persatuan serta dewan perniagaan India di Pulau Pinang berhubung kebanjiran peniaga luar yang menjejaskan peniagaan peniaga tempatan terutama ketika musim perayaan.

“(Oleh itu), garis panduan tersebut dilaksanakan yang mana penganjuran karnival (berkaitan kebudayaan) dibenarkan hanya di luar musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, MBSP melalui kenyataan media pada hari ini menjelaskan bahawa secara dasarnya, PBT itu tidak menghalang atau menyekat penganjuran karnival jualan sempena perayaan kebudayaan termasuk perayaan masyarakat India di Seberang Perai.

Kenyatan tersebut juga menyebut bahawa terdapat penetapan garis panduan bagi mengawal kemasukan penganjur dan peniaga dari luar Pulau Pinang yang menyertai karnival-karnival tersebut khususnya pada waktu-waktu tertentu dalam setahun yang bertujuan melindungi kelangsungan dan kepentingan peniaga-peniaga tempatan yang mana sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan mengenai saingan tidak seimbang daripada peniaga luar yang terlibat secara kerap dan meluas.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR