PDC lancar RFP Waterfront Weld Quay, lima tahun jangka pelaksanaan projek pembangunan bercampur

Admin
21636c7b fd82 457d 9a77 f87b5b4ce023 KETUA Menteri (kiri sekali) bersama-sama beberapa pemimpin lain dalam majlis berkaitan di sini sebentar tadi.

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejak 26 Januari lepas melancarkan permohonan cadangan (RFP) bagi projek Waterfront Weld Quay.

Daripada keseluruhan kawasan pembangunan bercampur tersebut yang seluas 13.25 ekar dekat Seksyen 23 Daerah Timur Laut, sebanyak 12.05 ekar adalah tanah milik Kerajaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam tempoh lima tahun dari sekarang, pentadbirannya mahu membangunkan semula kawasan berkenaan serta menyediakan penempatan dan kawasan perniagaan yang lebih tersusun untuk penduduk lokal.

“Kita bercadang untuk membangunkan semula kawasan ini sebab semua sedia maklum bahawa kawasan tersebut merupakan penempatan tidak terancang.

“Mengambil kira kawasan yang mahu dibangunkan semula ini adalah berhampiran dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO, memang ada garis panduan yang ketat untuk dipatuhi oleh para pemaju yang berminat,” jelasnya sesuai berucap dalam majlis berkaitan di sini pada 15 Februari 2026.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pemaju berminat menyertai proses RFP tidak perlu bimbang mengenai cabaran memindahkan lebih 200 keluarga yang masih menghuni di sekitar kawasan yang bakal dimajukan kelak.

Ini kerana menurut beliau, PDC telah membina kawasan perumahan berstrata dekat Gat Lebuh Cecil yang terdiri daripada 370 unit kediaman.

Ditanya pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menjelaskan bahawa setakat ini empat borang RFP telah dibeli.

“Jualan borang RFP dibuka sehingga 26 Februari 2026, dan tarikh tutup untuk menghantar borang RFP kepada PDC adalah pada 26 Mac 2026,” ujarnya.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga ADUN Perai; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PDC, Sr. Roslan Hassan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PDC, Abdul Latiff Abd. Aziz turut sertai majlis berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT