PDC pelawa syarikat berkelayakan kemuka RFP projek taman perindustrian, pembangunan bercampur Batu Kawan

Admin
whatsapp image 2024 02 15 at 12.00.29 pm

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mempelawa syarikat swasta yang berkelayakan untuk mengemukakan cadangan bagi projek taman industri dan pembangunan bercampur di Batu Kawan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dokumen bagi permohonan cadangan (RFP) berkenaan telah diiklankan mulai 8 Februari 2024 selama enam minggu sehingga 21 Mac 2024.

whatsapp image 2024 02 15 at 12.00.33 pm
CHOW Kon Yeow.

Menurut beliau, projek tersebut melibatkan pembangunan Fasa 1 Taman Perindustrian Batu Kawan 2 atau dikenali sebagai Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2) seluas kira-kira 559.64 ekar di Mukim 11 Daerah Seberang Perai Selatan.

Tapak yang ditawarkan ini adalah di Byram dan akan dibangunkan melalui kaedah perkongsian strategik atau ‘strategic partnership’.

 

“(Dan) ia akan menjadi pemangkin yang akan memberi impak ketara serta menarik pelaburan masuk,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar.

whatsapp image 2024 02 15 at 12.00.34 pm
PELAN perancangan pembangunan taman perindustrian.

Mengulas mengenai landskap industri di Pulau Pinang, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Ekonomi & Tanah memberitahu bahawa sehingga kini, Pulau Pinang mempunyai sembilan taman perindustrian yang dibangunkan oleh PDC dengan keluasan 6,100 ekar.

“Antaranya, taman perindustrian di Bayan Lepas, Seberang Jaya, Perai, Bukit Minyak, Penang Science Park dan Batu Kawan.

Taman-taman perindustrian ini menempatkan lebih 3,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan 350 syarikat multinasional (MNC) yang menyumbang 36 peratus daripada keseluruhan eskport negara.

“Malah, Pulau Pinang juga berbangga apabila sektor semikonduktor menyumbang sebanyak 5 peratus eksport dunia.

“Maka, bagi meneruskan legasi kegemilangan ini, PDC kini giat membangunkan tiga lagi taman perindustrian baharu iaitu Bandar Cassia Technology Park (BCTP) seluas 382 ekar; Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) seluas 622 ekar dan Penang Science Park South (174 ekar).

“Ketiga-tiga taman perindustrian ini dijangka melibatkan pelaburan mencecah RM3.2 bilion dengan margin sebanyak lima peratus untuk tempoh pembangunan sehingga tahun 2031,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, tapak pembangunan BKIP2 di Byram itu adalah tanah milikan persendirian dan tidak melibatkan mana-mana kawasan milik Sime Darby Plantation.

Difahamkan, selain pembangunan kawasan perindustrian, lain-lain keperluan seperti infrastruktur awam, perumahan, logistik dan komersial turut diberikan fokus oleh PDC dalam memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan utama yang dinamik dan mampan.

Dalam pada itu, Aziz memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan pelan pembangunan BKIP2 menepati hala tuju Kerajaan Negeri.

whatsapp image 2024 02 15 at 12.00.35 pm (1)
AZIZ Bakar.

“Ini termasuk tempoh masa pembangunan yang telah ditetapkan iaitu tidak melebihi tempoh 10 tahun.

PDC yakin dengan penglibatan syarikat swasta melalui perkongsian strategik akan mempercepatkan pembangunan taman perindustrian berkaitan.

“Justeru, mana-mana syarikat yang berpengalaman, mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan berkelayakan dipelawa menyertai RFP ini,” katanya.

Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang pdc.gov.my.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN