GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri wajar menggariskan formula sumbangan tunai daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memandangkan agensi negeri itu diberi mandat untuk menjana keuntungan daripada projek pembangunan serta pengurusan aset strategik negeri selama ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik mencadangkan sedemikian semasa membahaskan Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Jumaat lepas.
“Sebagai wakil rakyat Pulau Pinang, saya berpendapat PDC dan Pegawai Kewangan Negeri wajar menggariskan satu formula sumbangan tunai PDC kepada Kerajaan Negeri.
“Ini, bagi memastikan Kerajaan Negeri turut mengecapi keuntungan PDC untuk menanggung perbelanjaan mengurus dan menjana pembangunan Negeri Pulau Pinang, selain pembangunan perindustrian,” jelasnya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2025.
Mengulas lanjut, Choon Aik memberitahu bahawa agensi negeri tersebut merekodkan pendapatan sebelum cukai sebanyak RM216.6 juta pada tahun 2023 dan 2024 berjumlah RM527.1 juta.
“Sebagai Ahli Lembaga PDC, saya menghargai sumbangan seluruh warga PDC atas pencapaian yang memberangsangkan serta memberi sumbangan tunai sebanyak RM11.88 juta kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2024,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri hari ini tidak boleh terlalu bergantung pada hasil cukai semata-mata untuk memperkukuh kedudukan kewangan, sebaliknya perlu menjana lebih banyak hasil bukan cukai termasuk perolehan keuntungan pelaburan daripada projek PDC.
Pada 14 November lepas, Kon Yeow membentangkan Belanjawan 2026 Pulau Pinang dengan peruntukan sebanyak RM1.088 bilion.
Mengambil kira kedudukan kewangan secara realistik, belanjawan itu dibentangkan dengan catatan defisit paling rendah dalam sejarah perbentangan bajet negeri iaitu sebanyak RM19.92 juta.
Angka RM19.92 juta defisit tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding unjuran kurangan kewangan bagi tahun belanjawan 2025 iaitu sebanyak RM33.63 juta.
Daripada jumlah keseluruhan RM1.088 bilion, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata sebanyak RM1.051 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Bekalan, sementara RM37.07 juta untuk Perbelanjaan Tanggungan.
“Selain itu, sebanyak RM265 juta disalurkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) bagi menampung komitmen pembangunan berjumlah RM318.62 juta,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB