PDC tanam 1,000 pokok bakau, seimbangkan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar

Admin
img 20251017 wa0058

BUKIT TAMBUN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) menanam 1,000 batang pokok bakau sebagai komitmen berterusan agensi negeri itu terhadap agenda kelestarian dan pembangunan mampan di negeri ini.

Majlis perasmian penanaman pokok bakau itu disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat dekat Bandar Cassia Technology Park (BCTP) di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata bahawa penganjuran program tersebut membuktikan pembangunan fizikal dan pemeliharaan alam sekitar adalah perlu seiring demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

Selain selari dengan Visi Penang2030, beliau menyatakan bahawa program itu juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan lklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat) yang dapat memperkukuh daya tahan ekosistem paya bakau serta memperkasa kesedaran masyarakat melalui penyertaan pelbagai lapisan komuniti.

img 20251017 wa0041img 20251017 wa0043img 20251017 wa0047

“Saya dimaklumkan bahawa program ini menghimpunkan hampir 200 peserta yang terdiri daripada Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli Lembaga Pengarah PDC, pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), warga kerja PDC dan anak-anak syarikatnya.

“Penanaman sebanyak 1,000 batang pokok bakau hari ini menandakan satu langkah bermakna dalam membentuk benteng semula jadi menentang hakisan dan banjir, di samping menjadi habitat penting bagi pelbagai spesies marin serta burung.

“Inilah contoh nyata bagaimana tindakan kecil yang dilakukan secara kolektif mampu memberi impak besar kepada alam sekitar dan komuniti serta semangat Penang2030 iaitu sebuah masyarakat inklusif yang bergerak bersama dem kesejahteraan bersama,” katanya ketika berucap.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar serta ketua-ketua jabatan PDC.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC memberitahu bahawa langkah progresif yang dilaksanakan PDC jelas menunjukkan keupayaan organisasi itu dalam mengarusperdanakan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus) dalam setiap aspek pentadbiran dan pelaksanaan projek.

“Pendekatan berasaskan kelestarian ini bukan sahaja menzahirkan wawasan PDC sebagai pemacu pembangunan negeri, tetapi turut memastikan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan pemeliharaan alam sekitar.

img 20251017 wa0049img 20251017 wa0038img 20251017 wa0059img 20251017 wa0045img 20251017 wa0053

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut memperkukuh komitmen terhadap agenda nasional di bawah Rangka Tindakan Ekonomi MADANI dan Dasar Perubahan Iklim Negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050.

“Di peringkat negeri, komitmen ini dizahirkan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan lklim Negeri Pulau Pinang, Blueprint Penang2030 dan Inisiatif Penang Green Agenda yang mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kesejahteraansosial rakyat.

“Seiring dengan dasar tersebut juga, inisiatif penanaman pokok bakau di negeri ini sejak sedekad lalu telah memperlihatkan pelbagai kejayaan membanggakan.

“Antara pencapaian utama adalah penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan, NGO, komuniti nelayan dan sektor swasta yang mencerminkan semangat kerjasama serta tanggungjawab bersama dalam memulihara ekosistem pesisir.

“Dalam pada itu, program berskala besar yang dilaksanakan juga berjaya memperluas kawasan hijau dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan hutan bakau sebagai benteng semula jadi negeri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Justeru, Kon Yeow menyeru agar usaha penghijauan dan pemuliharaan alam sekitar ini diteruskan secara berterusan dan inklusif oleh semua pihak.

“Kejayaan agenda kelestarian tidak mungkin dicapai oleh kerajaan semata-mata, tetapi menuntut sinergi daripada semua pihak yang mana setiap sumbangan adalah sebahagian daripada usaha besar untuk memastikan alam semula jadi ini terus diwarisi dalam keadaan yang lebih baik daripada yang kita terima.

“Marilah kita terus berganding bahu dalam menjaga kelestarian bumi yang kita warisi ini.

“Setiap langkah kecil yang kita ambil hari ini akan membentuk masa depan yang lebih besar dan bermakna untuk generasi akan datang.

“Dengan semangat Penang2030 dan Malaysia Madani, saya yakin negeri Pulau Pinang akan terus melangkah maju sebagai negeri yang makmur, sejahtera dan berdaya tahan,” ulasnya lanjut.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD