PDL Fasa 2 berkonsepkan ‘Perpustakaan di dalam Taman’, kini dibuka

Admin

GEORGE TOWN – Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2 (PDL Fasa 2) yang berkonsepkan ‘Perpustakaan di dalam Taman’ kini dibuka kepada umum.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan RM10.8 juta bagi merealisasikan PDL Fasa 2.

“RM10.8 juta ini adalah untuk pemulihan dan transformasi rumah warisan, membina bangunan tambahan baru, restoran, kafe serta kawasan sekitarnya termasuk infrastruktur digital dan teknologi maklumat.

“Berkonsepkan ‘Perpustakaan di dalam Taman’, saya yakin pembangunan PDL Fasa 2 ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah Penang2030 dengan memfokuskan tiga aspirasi utama iaitu keluarga (family), hijau (green) dan negeri pintar (smart state).

“Saya yakin bahawa gabungan serasi ruang maya dan persekitaran semula jadi ini dapat mentranformasikan pembelajaran sambil menggalakkan interaksi dan kolaborasi sosial.

“(Dan) segala kemudahan yang ada di sini juga memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, warga tua, pelajar, profesional serta golongan istimewa,” ucapnya pada Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2 dekat Jalan Masjid Negeri di sini pagi ini.

Turut berucap, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi.

Menurut Kon Yeow, pembangunan PDL Fasa 2 adalah hasil perkongsian dan jalinan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan melalui konsep ‘Public, Private, People and Professional Partnership‘ atau 4P.

“Peneraju projek Perpustakaan Digital Pulau Pinang iaitu Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) telah bekerjasama dengan rakan-rakan program seperti Telebort, Talk Better, C-Artistic, GEC dan Excel NeuroLearning bagi mempelbagaikan program-program berasaskan ‘STEM Education’ semasa membangunkan PDL Fasa 1 dahulu.

“Kini, ia diperluaskan dengan pertambahan kandungan digital seperti bahasa Inggeris, keusahawanan dan kesenian menjadikan STEM dahulu dikenali sebagai ESTEEMA kini.

“(Dan) menerusi platform digital dan teknologi maklumat rekaan Keysight Technologies dalam Fasa 1 sebelum ini, kini satu lagi teknologi disediakan dalam pembangunan PDL Fasa 2 iaitu penyediaan lapan unit ‘smart pole‘ oleh DGB (Diversified Gateway Berhad) menggunakan teknologi Huawei.

“Unit-unit ‘smart pole‘ ini dilengkapi dengan sambungan wifi, liputan langsung CCTV, pencahayaan daripada ‘smart compound light’ serta papan tanda luaran skrin digital dan ‘environment sensing‘,” katanya yang juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang merealisasikan pembangunan PDL Fasa 2.

Ketika ditemui pada sidang media sejurus majlis perasmian, Kon Yeow memaklumkan bahawa waktu operasi bagi PDL Fasa 2 adalah dari 8 pagi sehingga 10 malam.

“Memandangkan PDL Fasa 1 telah beroperasi selama 24 jam, maka Kerajaan Negeri bersetuju dan meluluskan waktu operasi bagi PDL Fasa 2 adalah dari 8 pagi sampai 10 malam termasuk operasi kafe dan restoran.

“Selain PDL Fasa 1 dan Fasa 2 ini, masih ada dua lagi perpustakaan yang bakal dibangunkan iaitu Perpustakaan Digital Butterworth yang dijangka siap pada penghujung tahun ini dan Perpustakaan Digital Islam Pulau Pinang pada pertengahan tahun 2020 nanti,” jelasnya.

PDL Fasa 2 adalah terdiri daripada dua bangunan dua tingkat merangkumi ruang bacaan selesa di ‘Mansion Library‘ seluas 4,000 kaki persegi (kp); ruang pembelajaran dan diskusi serta zon kanak-kanak di ‘New Annexe‘ (10,000 kp); ruang makan dan kafe ‘Cabin in the Park‘ seluas 2,000 kp serta ruangan terbuka bagi kegiatan pembacaan dan pembelajaran rekreasi di ‘Wisdom Street’.

Selain itu, kedua-dua bangunan yang dianggarkan seluas 16,000 kp itu, mampu menampung sehingga 540 pengunjung pada satu-satu masa berbanding PDL Fasa 1, hanya 140 pengunjung.

Kemudahan lain seperti dewan serba guna yang fleksibel serta boleh memuatkan sehingga 200 orang turut disediakan dengan kadar sewaan sebagaimana diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD