PDRM tingkatkan SJR di Pulau Pinang berbanding PKP sebelum ini

Admin

GEORGE TOWN – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) dari 43 ke 46 dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) yang bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Menurut Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sahabudin Abd. Manan, pihaknya kini serius memantau keadaan dari masa ke masa untuk memastikan usaha kerajaaan dalam membendung penularan pandemik COVID-19 berjaya mencapai matlamatnya.

“Secara kesluruhannya, pematuhan rakyat Pulau Pinang terhadap FMCO semalam (hari pertama) adalah baik.

 

“Pasukan kita akan melakukan pemeriksaan lebih ketat, kita mahu pastikan pergerakan adalah terhad kepada radius 10 kilometer sahaja.

 

“Saya turut melakukan beberapa rondaan dan nampaknya berlaku pengurangan kenderaan berbanding sebelum 1 Jun,” ujar beliau ketika dihubungi Buletin Mutiara pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya menggunakan tempoh dua minggu ini untuk sama-sama menurunkan kadar kes jangkitan positif COVID-19 di Malaysia khususnya Pulau Pinang.

 

“Saya nasihatkan untuk dua minggu ini kita bersungguh-sungguh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk kebaikan bersama.

“Fahami semangat pelaksanaan FMCO, bukan untuk mengehadkan pergerakan tetapi lebih penting memutuskan rantaian COVID-19,” tegasnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING