PKPD Bayan Lepas, penduduk diminta tidak tinggalkan kediaman – Datuk Bandar

Admin

GEORGE TOWN – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang meminta penduduk di 13 lokaliti pekan Bayan Lepas agar tidak cuba meninggalkan kawasan tersebut.

 

Ini susulan daripada pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa 13 lokaliti di pekan Bayan Lepas akan diletakkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 4 hingga 17 Jun ini.


“Menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didapati berlaku peningkatan (kes) di Bayan Lepas iaitu sebanyak 83 kes baharu dikesan dalam masa dua minggu dengan keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah 250 kes.


“Ujian saringan yang dilakukan ke atas kontak rapat juga menunjukkan kadar positiviti 19.6 peratus manakala saringan komuniti pula 10.7 peratus.

 

“PKPD ini melibatkan kawasan seluas 87 ekar meliputi 2,380 unit kediaman, 83 unit komersial dengan jumlah penduduk sekitar 10,000 orang,” ujar Tung Seang dalam satu sidang media melalui aplikasi Zoom lewat petang tadi.


Dalam pada itu, Tung Seang memakkumkan bahawa pihaknya komited melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat dan akan diteruskan sungguhpun ia akan diklasifikasikan sebagai kawasan PKPD kelak.

 

“Justeru, saya minta kerjasama semua penduduk terlibat agar tidak ke mana-mana atau meninggalkan lokasi, sila patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan sebarang aduan boleh diutarakan melalui mana-mana saluran MBPP,” katanya lagi.

 

Berikut adalah 13 lokaliti yang terlibat iaitu Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai, Bayan Tiara, Taman Ara Indah dan Kampung Bukit.

 

Lokaliti lain termasuklah Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.

 

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dalam kenyataan media memberitahu bahawa kawasan tersebut turut menyumbang empat kes kematian daripada Kluster Jalan Kampung Bukit.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI