Peguam syarie tonggak sistem kehakiman dan perundangan syariah

Admin
img 20251202 wa0088

GEORGE TOWN – Seramai 38 peguam syarie diraikan dalam Majlis Pengisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang 2025.

Penyampaian sijil tauliah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, Jalan Batu Gantung dekat sini pada 2 Disember 2025.

Abd Aziz dalam ucapannya mengingatkan bahawa Institusi Kehakiman Syariah merupakan satu Institusi Islam yang perlu menjadi syiar atau lambang keizzahan dan kesyumulan Islam.

Menurutnya, sebagai salah satu peneraju institusi agama lslam, mahkamah syariah termasuk barisan peguam syarie dan pendakwa syarie harus terkehadapan dalam aspek pengurusan, pentadbiran serta penggunaan teknologi terkini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat negeri ini menjadi lebih berkesan.

“Semua peguam syarie adalah sebahagian daripada tunjang kepada sistem kehakiman dan perundangan syariah yang diterajui oleh tiga tonggak utama iaitu, hakim syarie, pendakwa syarie dan peguam syarie.

“Ketiga-tiga tonggak ini adalah berkait rapat dan perlu bersama-sama memainkan peranan ke arah memartabatkan institusi kehakiman serta perundangan Islam, dan seterusnya memperlihatkan keadilan.

“Mahkamah Syariah tidak mampu mencapai keadilan jika hanya bergerak sendirian, justeru semua pengamal undang-undang Syariah perlu bekerjasama untuk mencapai misi, visi, objektif dan cita-cita dalam memartabatkan sistem kehakiman dan perundangan Islam di Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

img 20251202 wa0096img 20251202 wa0097img 20251202 wa0086img 20251202 wa0087img 20251202 wa0092

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Arif Dato’ Za’im Md. Yudin dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman.

Mengulas lanjut, Abd Aziz turut mengingatkan barisan peguam syarie yang baru ditauliahkan supaya sentiasa menjaga etika dan tahap profesionalism serta memberikan perkhidmatan guaman terbaik dan berkesan kepada anak guam masing-masing.

“Sebagai peguam syarie, slogan Syariah Asas Keadilan, prinsip-prinsip dan falsafah perundangan Islam hendaklah dihayati dan diamalkan sepanjang melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Saya juga ingin berpesan sebagai peguam syarie agar sentiasa menambah ilmu pengetahuan berkaitan bidang tugas selain cakna dengan perkembangan perundangan dan kehakiman syariah supaya tidak ketinggalan,” katanya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT