‘Pekan Bangla’, Ahli Majlis minta penguatkuasaan berwajib

SEBERANG JAYA – Premis-premis perniagaan di Bukit Mertajam yang banyak dikuasai buruh asing seakan menjadikan kawasan komersial itu umpama ‘Pekan Bangla’, kata Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), M. Satees.

“Sekarang, saya nampak warga asing sudah berani menjalankan perniagaan dalam premis.

“Saya meminta pihak penguatkuasa mengambil tindakan di Pekan Bukit Mertajam, kerana sekarang telah pun menjadi seperti ‘Pekan Bangla’,’’ katanya dalam Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu turut meminta pihak pentadbiran MPSP mengemukakan rekod penguatkuasaan ke atas warganegara yang menyalahguna lesen perniagaan untuk warga asing menjalankan perniagaan secara ‘haram’ di Pekan Bukit Mertajam.

Menjawab isu tersebut, Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud memberitahu, sebanyak lima operasi bersepadu dilaksanakan pada tahun lalu.

“Semasa kita membuat operasi itu, (warganegara) pemilik lesen (perniagaan) itu ada di premis.

“Bagaimanapun, kesalahan imigresen sebanyak 154 membabitkan warga asing… dan operasi bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Lesen untuk perniagaan tidak diberikan kepada warga asing, tetapi lesen premis perniagaan, warga asing boleh mohon (daripada MPSP),” jelasnya.

Rozali memberitahu, pihaknya akan mengemukakan statistik terperinci seperti diminta Satees dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Satees memberitahu, penguatkuasaan berwajib MPSP itu adalah selari dengan langkah Kerajaan Negeri melaksanakan larangan penjaja warganegara mengupah buruh asing menjadi tukang masak utama di Pulau Pinang.

Sebelum itu, Maimunah sekali lagi menjelaskan mengenai langkah penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca mulai 1 Jun depan.

Menurut beliau, dasar tersebut adalah membabitkan lapan kategori premis, iaitu rumah kampung, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kondominium, taman perumahan, kilang, kompleks membeli-belah, outlet makanan dan hotel serta kompleks kerajaan.

“Sebanyak 14 buah taman telah diiktiraf sebagai taman bersih semenjak tahun 2014, salah satu daripada lapan kriteria adalah pengasingan sisa di punca,” jelasnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melalui MPSP pada 10 Januari lalu melancarkan projek perintis pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dekat Kampung Changkat, Nibong Tebal.

Pada majlis sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow semasa berucap memberitahu, pada peringkat permulaan, pemilik premis umpamanya diminta membuat pengasingan sisa di punca secara asas, iaitu sisa yang boleh dikitar semula dan sebaliknya.