MBPP sangkal dakwaan, kerja pembersihan dijalankan secara berterusan

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyangkal dakwaan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit gagal melaksanakan kerja-kerja pembersihan awam sehingga menjejaskan imej baik Kerajaan Negeri yang terkenal dengan dasar Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan MBPP, Joseph Ng Soon Siang memberitahu, kenyataan yang disiarkan di dalam sebuah suratkhabar Bahasa Inggeris pada 12 Januari lalu adalah tidak benar.

“Tahap pembersihan pantai, jalan dan perparitan dijalankan secara berterusan. “Kekerapan kerja-kerja pembersihan adalah mengikut keadaan sesuatu kawasan tersebut.

“Kerja-kerja pembersihan ini akan dipertingkatkan apabila keadaan kekotoran berada di luar jangkaan seperti berlakunya wabak demam denggi, musim cuti, ketika keadaan laut luar biasa yang akan membawa sampah ke tepian dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Soon Siang menyatakan sedemikian sebagai menjawab dakwaan Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris yang disiarkan dalam terbitan suratkhabar Bahasa Inggeris bertarikh 12 Januari 2016.

Dalam siaran tersebut, S.M. Mohamed menyatakan bahawa MBPP gagal melaksanakan kerja-kerja pembersihan awam sehingga menjejaskan imej baik Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Soon Siang menyatakan bahawa kerja-kerja pembersihan turut diatur secara ‘task-force’ di kawasan yang mengalami kekurangan tenaga pekerja.

“Bagi pembersihan sistem perparitan yang tidak boleh dijalankan secara manual, kenderaan Art Gulley Emptier (AGE) akan digunakan,” jelasnya.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);