GEORGE TOWN – Masuk hari keempat dan terakhir Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang bersempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ramli Ngah Talib di Dewan Sri Pinang pada 30 Julai 2025, menyaksikan seramai sembilan pekerja sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) dari kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut dikurniakan pingat kehormatan sebagai menghargai jasa serta dedikasi mereka berkhidmat di negeri ini.
Mereka ialah Omar Shariff Abdul Salam, K. Nirmal, Mohamad Firdaus Mohamad Noor, Mohyuddin Abdul Kadir Jailani, Mohamad Yusoff Abdul Aziz dan Bazlan Osman yang merupakan pekerja sektor 3D di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Sementara baki tiga penerima lain iaitu Khairul Nizam Muhamad Rosli, Saidil Omar Awang dan Zulkifli Yahaya merupakan pekerja sektor 3D di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang dan sekalian tetamu kenamaan lain turut menyaksikan majlis kurniaan tersebut yang mana sekali gus menjadi simbol Kerajaan Negeri konsisten dalam memberi pengiktirafan atas jasa serta dedikasi para pekerja sektor 3D.

OMAR SHARIFF ABDUL SALAM, 55, yang ditemui kemudian menzahirkan penghargaan atas penerimaan kurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) daripada Tun Ramli dan Kerajaan Negeri hari ini.
“Saya telah berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am H1 (3D) selama 26 tahun.
“Kalau nak cerita dari segi pengalaman, paling bermakna apabila saya berpeluang menyertai beberapa misi pemulihan pasca bencana banjir di luar negeri (Pulau Pinang).
“Kira-kira 15 tahun lepas, saya pernah dapat (kurniaan) Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M)… terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan TYT sendiri atas kurniaan kali kedua (iaitu P.J.K) pada petang ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sebentar tadi.

Baru tujuh tahun berkhidmat di bawah Jabatan Perbandaran MBPP, MOHAMAD FIRDAUS MOHAMAD NOOR, 32, tidak menyangka bahawa beliau turut dipilih sebagai penerima pingat P.J.M.
“Kurniaan (P.J.M), saya lihat sebagai rezek… alhamdulillah, suatu pengiktirafan buat saya sendiri dan rakan-rakan yang berkhidmat dalam sektor 3D sebenarnya.
“Saya tidak menyangka akan dipilih menerima anugerah ini kerana masih ramai lagi lebih yang layak kalau hendak diukur dari segi tempoh berkhidmat dalam sektor ini,” jelas Pembantu Khidmat Am H1 (3D) berkenaan.

Nada hampir sama turut dikongsi oleh K. Nirmal, 41, yang telah berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am Gred H1 (3D) di bawah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP selama 21 tahun.
“Ini kali pertama saya menerima P.J.M. (yang mana) saya berasa sangat gembira atas pengiktirafan ini.
“Saya melihat istiadat (penganugerahan) pada hari ini bukan sahaja memberi pingat (Darjah Gemilang Pangkuan Negeri, D.G.P.N, yang membawa gelaran Datuk Seri) kepada Lee Chong Wei atas jasa lagenda pemain badminton itu dalam mengharumkan nama negara dan negeri (Pulau Pinang); pekerja sektor 3D macam saya pun turut diiktiraf… ini suatu kebanggaan buat kami yang berkhidmat di bawah Majlis (MBPP),” jelasnya lagi.
Untuk rekod, ketika ini kesemua 75 pekerja 3D berkhidmat di bawah MBPP dan MBSP (136 orang) yang mana masing-masing turut diiktiraf dengan menikmati elaun khas bulanan sebanyak RM150 sejak tahun 2011 dan kadar itu dinaikkan kepada RM200 sejak November 2013.
Amalan memberikan kurniaan pingat kehormatan kepada sekalian pekerja 3D di Pulau Pinang diteruskan sehingga kini sekali gus menyerlahkan komitmen serta iltizam pentadbiran Kerajaan Negeri untuk terus melihat mereka diiktiraf dan menjadi tonggak utama dalam memastikan kesejahteraan dan kelestarian persekitaran kita.
Tahniah pekerja sektor 3D!
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN