Pelajar terpilih KADUN Seri Delima terima bantuan seragam

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

SERI DELIMA – Seramai 430 pelajar sekolah rendah dan menengah terpilih sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima menerima bantuan awal pakaian seragam sekolah baru-baru ini.

Bantuan tersebut disampaikan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer pada majlis yang dilangsungkan di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Tun Sardon di sini.

Rayer berkata, program pemberian bantuan pakaian seragam sekolah berkaitan diperkenalkan sejak 2009 sebagai galakan dan semangat kepada golongan kurang bernasib baik untuk belajar dengan lebih tekun.

“Tujuannya adalah untuk meringankan bebanan ibu bapa setiap kali tibanya sesi persekolahan baharu yang mana terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi dalam menyediakan anak masing-masing ke alam persekolahan.

“(Dan) hari ini, setiap pelajar terpilih yang layak akan menerima pakaian seragam sekolah mengikut kategori sama ada sekolah rendah ataupun menengah,” ujarnya sambil ditemani Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pada majlis penyampaian sumbangan berkaitan.

Apabila ditanya lanjut sama ada program bantuan berkenaan akan diteruskan, Rayer sebagai respons memberitahu bahawa beliau berhasrat untuk meneruskannya dan sebagai tambahan turut mengadakan kelas tuisyen percuma kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.