HASRAT sekumpulan pelajar Sekolah Antarabangsa Uplands untuk merealisasikan program pembersihan pantai sambil berjoging atau plogging tercapai selepas surat penyataan hasrat yang diutuskan mereka kepada Pejabat Ketua Menteri mendapat maklum balas positif dan sokongan padu.
Penganjuran aktiviti kemasyarakatan yang berlangsung di kawasan pantai berhampiran Hotel Angsana, Teluk Bahang itu dijayakan oleh seramai 12 pelajar Tahun 8 dan 9 yang mendaftar secara sukarela.

Koordinator Middle Years Programme (MYP) merangkap Penolong Pengetua Sekolah Menengah Antarabangsa Uplands, Pat Anderson berkata, inisiatif berkenaan bermula apabila para pelajar mengenal pasti pelbagai isu alam sekitar dan kemasyarakatan di sekitar Pulau Pinang menerusi penganjuran NGO Fair di sekolah mereka.
Menurut beliau, para pelajar sendiri yang menerajui idea berkenaan serta mengutus surat rasmi bagi memohon kerjasama penganjuran aktiviti berkenaan.
“Langkah mengutus surat kepada Pejabat Ketua Menteri adalah cetusan idea dan inisiatif pelajar sendiri.
“Pihak sekolah hanya berperanan memberikan bimbingan, pendedahan peluang serta jaringan kerjasama, namun segala keputusan dibuat sepenuhnya oleh pelajar,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut di sini pada 1 Oktober 2026.
Jelas Anderson, aktiviti khidmat masyarakat itu merupakan sebahagian daripada komponen wajib dalam kurikulum International Baccalaureate (IB) yang diguna pakai sekolah berkenaan, khususnya di bawah aspek penglibatan komuniti.
Mengulas lanjut mengenai kurikulum tersebut, beliau memberitahu bahawa program MYP merupakan kurikulum antarabangsa yang diiktiraf dari Switzerland bagi peringkat sekolah menengah rendah, manakala peringkat sekolah rendah menggunakan Primary Years Programme (PYP) dan pelajar senior mengikuti Diploma Programme (DP) sebagai persediaan ke universiti.

Tambah beliau, program khidmat masyarakat di sekolahnya dijalankan secara berterusan melibatkan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar pulau, termasuk pusat perlindungan haiwan serta Sekolah Kanak-Kanak Masalah Penglihatan St. Nicholas.
“Kami amat berbesar hati dan teruja atas maklum balas pantas serta sokongan daripada Pejabat Ketua Menteri.
“Kami berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi untuk program penglibatan komuniti yang seterusnya pada musim bunga akan datang, sekitar bulan Mac,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Program yang turut dihadiri oleh guru Jabatan Seni dan Drama sekolah berkenaan, JL Murdoch, diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas dan terancang pada masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai pelajar.

Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yap Lee Ying; Naib Pengerusi Kelab Rekreasi Mutiara, Idzham Ahmad; Penghulu Kanan Pejabat Daerah Barat Daya, Muhamad Farouk; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ooi Mei Mei; dan pemimpin komuniti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bahang dan MPKK Teluk Awak turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam program menjaga alam semula jadi tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING