PERMATANG BERANGAN – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus memperkasakan agenda pembangunan sosioekonomi serta keusahawanan Bumiputera di negeri ini menerusi penganjuran Expo PERDA (EXPERT) 2026 yang memasuki edisi kelima tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata, pelbagai inisiatif baharu dan penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan masyarakat serta usahawan Bumiputera tempatan dapat mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang yang disediakan.
“Tahun ini menyaksikan peruntukan besar diterima, khususnya bagi pembangunan industri halal menerusi pembinaan 22 bengkel halal di kawasan ini bagi membantu mengukuhkan perniagaan usahawan tempatan.
“Bagi sektor pertanian pula, PERDA mengekalkan fokus terhadap penggunaan tanah pertanian sedia ada seperti di Ara Kuda dan tidak memberi tanah baharu untuk tujuan pembangunan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Expo PERDA (EXPERT) 2026 di Pentas Utama, Midtown PERDA, Kubang Menerong, Tasek Gelugor pada 2 Oktober 2026.
Majlis perasmian acara perhimpunan usahawan Bumiputera terbesar di Seberang Perai itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib, bersama-sama isteri Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Sri Suriani Dato’ Ahmad; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan Dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Pengerusi JKP Sdn. Bhd., Tan Sri Khalid Ramli dan Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera (BPPBPP) Pulau Pinang di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr. Syaharudin Shah Mohd. Noor.
Bertemakan Sinergi Halal: Memperkasa Usahawan, Memacu Ekonomi, acara tahunan yang berlangsung sehingga 4 Oktober di sini menerima penyertaan lebih 200 pempamer serta menyasarkan kehadiran kira-kira 75,000 pengunjung.
Buletin Mutiara difahamkan, dengan sokongan pelbagai agensi berkaitan, ekspo berkenaan gigih memperkukuh kerjasama strategik dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, selain berusaha menjana nilai pemerolehan kontrak yang melebihi RM3.2 juta seperti yang dicapai pada edisi keempat penganjuran tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai pembangunan strategik, Shaik Hussein memberitahu bahawa PERDA turut terlibat secara aktif dalam menyelesaikan beberapa projek terbengkalai sejak puluhan tahun serta menjalinkan kerjasama antara agensi.
Antara usaha strategik yang sedang diusahakan oleh PERDA, menurutnya, termasuk pembinaan hampir 500 unit rumah menerusi kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) di Bayan Lepas, pembangunan semula Kampung Bagan Serai bersama JKP Sdn. Bhd. awal tahun depan, serta projek pembinaan asrama dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).
Selain itu, beliau turut mengumumkan penganjuran Pesta Pulau Pinang yang bakal dibawakan ke tapak berkenaan pada bulan November ini bagi menyemarakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk sekitar Tasek Gelugor, Penanti dan Permatang Pauh.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar semua usahawan Bumiputera di Pulau Pinang memanfaatkan platform EXPERT 2026 ini untuk membina rangkaian perniagaan yang lebih luas demi kemajuan perniagaan masing-masing.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI