Pelan tindakan 2018, sejahterakan penduduk PPR Desa Wawasan

PADANG LALANG – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berharap dengan pelaksanaan pelan tindakan yang dirancang untuk penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan dekat Parlimen Bukit Mertajam, ia bukan sahaja bakal mensejahtera malah juga mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke perumahan berkaitan bersama-sama Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan wakil wakil Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) baru-baru ini.

“ Rentetan perbincangan yang dijalankan di PPR Desa Wawasan Mei lalu, beberapa isu komuniti telah dibangkitkan, antaranya kekurangan taman rekreasi; ketiadaan program kesedaran ataupun pembinaan kapasiti penduduk; keadaan bangunan dan persekitaran yang buruk serta kotor; kemudahan serta penyelenggaraan bangunan tidak memuaskan dan isu tunggakan sewa rumah.

“Kami (pihak Exco dan Bahagian Perumahan) telah mendengar semua pendapat anda dan telah merancang pelan tindakan untuk tahun 2018 dalam memastikan projek menaik taraf berjalan lancar dengan menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu pemasangan peralatan di taman rekreasi, penyelenggaran bangunan, menganjurkan aktiviti serta program untuk penduduk.

“(Dan) keseluruhan pelaksanaan ini adalah membabitkan bajet RM220,000 untuk tahun 2018 berbanding sebelum ini berjumlah RM83,000…ia merupakan peningkatan bajet yang ketara,” katanya pada lawatan berkaitan 17 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, berdasarkan maklum balas dan cadangan diterima, Bahagian Perumahan telah merancang untuk memasang alat-alat senaman dan membaiki padang permainan bagi tujuan rekreasi.

“Kos RM200,000 yang diperuntukan bagi tujuan ini adalah tidak termasuk pembaikan gelanggang sepak takraw dan pemasangan meja ping pong. Selain itu, RM20,000 turut diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf dewan.

“Sebagai tambahan, melalui pelan tindakan tahun 2018 turut dirancang adalah kerja-kerja membaiki dan menurap semula jalan di kawasan PPR ini.

“(Dan) saya ingin menyeru semua, sama ada penduduk mahupun Bahagian Perumahan untuk menyokong pendekatan dimainkan PWDC dalam memastikan semua golongan masyarakat mengambil bahagian dalam projek penyertaan rakyat yang memberi manfaat kepada komuniti di kawasan berwajib,” ujarnya sambil memuji pendekatan PWDC dalam memperkenalkan GRPB atau Bajet  Responsif Gender & Partisipatori di semua rancangan PPR negeri ini.