PPSB dituntut kaji semula jadual feri selaras perkhidmatan ETS, Butterworth

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen (MP) Tanjong, Ng Wei Aik menyerahkan memorandum bagi menuntut Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) supaya menyusun semula jadual perkhidmatan feri Pulau Pinang agar selaras dengan jadual perkhidmatan tren elektrik atau ETS di Stesen Keretapi Butterworth.

Menurut beliau, perkhidmatan feri dari Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda (di bahagian pulau) mula beroperasi antara jam 5:40 pagi sehingga 12:40 pagi keesokan harinya, dan feri terakhir dari bahagian pulau akan tiba di Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim pada jam 1 pagi.

“Dalam erti kata lain, tiada perkhidmatan feri dari bahagian pulau di antara jam 12:40 pagi sehingga 5:40 pagi setiap hari sedangkan perkhidmatan ETS dari Butterworth ke Ipoh atau Kuala Lumpur (KL Sentral) akan berlepas seawal jam 4:45 pagi dan tiba di Ipoh pada 6:10 pagi, Kuala Lumpur (8:50 pagi).

“Begitu juga perkhidmatan ETS seterusnya pada jam 6:10 pagi dari Butterworth dan tiba di Ipoh pada 7:59 pagi, dan di Kuala Lumpur pada 10:27 pagi, manakala perkhidmatan ETS dari Butterworth pada sebelah malam adalah pukul 8 malam dan tiba di Ipoh pada 9:40 malam diikuti Kuala Lumpur pada 12:15 pagi keesokan harinya.

“Oleh itu, saya ingin menyerahkan memorandum kepada PPSB supaya mempertimbangkan penyusunan semula jadual perkhidmatan feri bagi membolehkan orang awam khususnya warga Pulau Pinang di bahagian pulau sempat menaiki ETS pada awal pagi,” ujarnya pada sidang media di hadapan Pejabat PPSB di sini 19 Disember lalu.

Turut sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng.

Mengulas lanjut, Wei Aik berkata, ketiadaan penyelarasan jadual antara perkhidmatan feri dan ETS telah menyusahkan pengguna terutamanya warga Pulau Pinang di bahagian pulau menggunakan pengangkutan awam untuk ke Seberang Perai (Butterworth).

“Feri merupakan salah satu mod pengangkutan dalam rangkaian pengangkutan awam di Pulau Pinang dan demi keselesaan umum, adalah wajar PPSB atau Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang kini dalam proses pengambilalihan perkhidmatan feri mengkaji semula jadual perkhidmatan feri bagi memastikan ia dapat dinikmati tanpa perlunya mereka (umum) menggunakan
pengangkutan peribadi untuk menyeberangi laut.

“Saya harap tuntutan ini dapat diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak PPSB ataupun Prasarana selepas ini demi kemudahan rakyat Pulau Pinang keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, Wei Aik pernah membangkitkan isu ini dalam Dewan Rakyat dan Menteri Pengangkutan melalui jawapan lisan memaklumkan bahawa perkhidmatan feri kini sedang dalam proses pengambilalihan oleh Prasarana dan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada perkhidmatan feri akan dijalankan mengikut cadangan yang disuarakan.

Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa Prasarana telah mencadangkan model penambahbaikan perkhidmatan feri menggunakan konsep Pembangunan Integrasi Berasaskan Pengangkutan atau ITOD di Pulau Pinang.