GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai memaklumkan bahawa sektor pelancongan perubatan Pulau Pinang menjana hasil sebanyak RM601.8 juta menerusi kehadiran 285,400 pelancong perubatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai antara destinasi utama pelancongan penjagaan kesihatan negara.
Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan prestasi sektor berkenaan yang kini telah mengatasi tahap sebelum pandemik COVID-19, selain mencerminkan sumbangan pentingnya kepada ekonomi negeri.
Menurutnya, berdasarkan statistik Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), hasil pelancongan perubatan Pulau Pinang bagi tempoh tersebut kira-kira 5.6 kali ganda lebih tinggi berbanding Johor yang merekodkan RM106.8 juta.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 4 November 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, Hon Wai memaklumkan bahawa sektor acara perniagaan atau Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) turut mencatatkan impak ekonomi memberangsangkan apabila menjana anggaran RM1.91 bilion pada 2025 menerusi penganjuran 3,391 acara yang melibatkan lebih 451,198 delegasi.
Kerajaan Negeri menyasarkan Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) menjana impak ekonomi sebanyak RM2.2 bilion menerusi sektor berkenaan pada 2027.
“Sasaran ini sekali gus memperluas limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, peruncitan serta perkhidmatan sokongan,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh mengenai pertumbuhan sektor pelancongan dan peningkatan laluan penerbangan antarabangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong itu berkata bahawa Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Pada tahun 2025, jumlah pergerakan penumpang di LTAPP mencecah 8,314,565 orang, melebihi kapasiti asal reka bentuk sebanyak kira-kira 6.8 juta penumpang setahun.
“Sehubungan itu, projek pembesaran LTAPP yang diteruskan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan kapasiti lapangan terbang kepada 12 juta penumpang setahun apabila siap kelak,” jelasnya.
Menurutnya lagi, antara cabaran operasi semasa di LTAPP termasuk kekurangan kaunter daftar masuk dan petak parkir pesawat, selain hanya mempunyai satu landasan yang mengehadkan keupayaan menambah laluan serta kekerapan penerbangan antarabangsa.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM14.5 juta kepada tiga agensi pelancongan negeri bagi tahun 2027, iaitu RM5 juta kepada Penang Global Tourism (PGT), PCEB (RM6.5 juta) dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) RM3 juta.
“Peruntukan tersebut disertai sasaran prestasi masing-masing, termasuk peningkatan lima peratus ketibaan pelancong ke Pulau Pinang bagi PGT serta sasaran impak ekonomi RM2.2 bilion bagi PCEB,” katanya.
Mengulas perkembangan lain, Hon Wai memberitahu bahawa Pulau Pinang menerima 41 pengiktirafan dan anugerah antarabangsa dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sekali gus mencerminkan daya saing serta tarikan pelancongan negeri.
“Dalam tempoh sejak Mei lalu, Pulau Pinang menerima enam pengiktirafan antarabangsa yang membanggakan merangkumi sektor perhotelan, destinasi pulau, pelancongan perniagaan serta kesalinghubungan udara,” ulasnya lanjut.
- Antara pengiktirafan yang diterima adalah:
i. Condé Nast Traveller: The World’s Most Beautiful Hotels 2026 – Soori Penang sebagai salah sebuah hotel tercantik di dunia bagi tahun 2026 yang menonjolkan keunikan seni bina, reka bentuk serta nilai warisan hotel berkenaan.
ii. Travel + Leisure: Luxury Awards Asia Pacific 2026, Best Islands – Pulau Pinang menduduki tempat kelima dalam senarai tersebut.
iii. Michelin Guide Hotel Selection 2026 – Sebanyak 15 buah hotel disenaraikan manakala 13 buah hotel lagi dimasukkan dalam Michelin Guide Hotel Selection.
iv. National Geographic: Best Places in the World to Travel to in 2027 – Pulau Pinang disenaraikan sebagai satu-satunya bandar di Asia Tenggara yang tersenarai dalam senarai destinasi pelancongan terbaik dunia bagi tahun 2027.
v. Smart Travel Asia 2026 Best in Travel Poll – Pulau Pinang berada dalam kelompok 10 Destinasi Percutian Terbaik di Asia (Asia’s Top 10 HolidayDestinations).
vi. Centre for Aviation (CAPA) – LTAPP menerima anugerah Asia Small / Medium Airport of the Year 2026.
Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa Pulau Pinang juga bakal menerima tiga penerbangan sewaan khas dari Warsaw, Poland; Busan, Korea Selatan dan Osaka, Jepun sebagai langkah menguji potensi pasaran baharu serta memperluas jaringan udara antarabangsa.
Malah, katanya, beberapa tarikan warisan seperti Galeri Arkeologi Guar Kepah; Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang; Muzium Negeri di Lebuh Farquhar dan Jalan Macalister serta Kota Cornwallis telah dibuka kepada orang awam selepas dinaik taraf atau dipulihkan semula sepanjang 2026 dijangka menggamit tambahan kehadiran pelancong.
Usaha ini membolehkan lebih banyak khazanah sejarah diketengahkan kepada masyarakat tempatan dan pelancongan antarabangsa, di samping meningkatkan nilai pengalaman pelancongan melalui kepelbagaian produk berasaskan sejarah, arkeologi, budaya dan warisan.
“Dalam konteks ini, ia memberi kelebihan strategik kepada pembangunan pelancongan kapal persiaran di negeri ini, khususnya tarikan warisan yang terletak berhampiran terminal ketibaan,” katanya lagi.
Dalam sesi sama, Hon Wai turut menyentuh beberapa inisiatif Kerajaan Negeri termasuk pemeliharaan Tapak Warisan Dunia George Town, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di Bukit Bendera, usaha memperkukuh pelancongan kapal persiaran serta kajian terhadap potensi menghidupkan semula perkhidmatan feri Pulau Pinang – Langkawi sebagai salah satu usaha memperluas jaringan pengangkutan laut.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ALISSALA THIAN