GEORGE TOWN – Jumlah perdagangan Pulau Pinang mencecah RM1.164 trilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, dengan nilai eksport meningkat 75.1 peratus kepada RM766.44 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, nilai eksport tersebut menyumbang 48.8 peratus kepada keseluruhan eksport negara, manakala import negeri direkodkan sebanyak RM397.80 bilion.
“Pencapaian ini mencerminkan kekuatan ekosistem perindustrian dan jaringan perdagangan global negeri.
“Namun begitu, kedudukan yang kukuh pada hari ini perlu disertai persediaan menghadapi perubahan permintaan, ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan,” ujarnya semasa Sesi Penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 4 November 2026.
Mengulas lanjut, Choon Aik berkata, InvestPenang memperoleh pembiayaan berjumlah RM238 juta bagi empat inisiatif strategik sepanjang 2025 hingga 2026 untuk memperkukuh keupayaan syarikat tempatan, merangkumi pembangunan bakat dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), reka bentuk cip, teknologi pengujian semikonduktor, automasi serta pembiayaan syarikat teknologi tempatan.
“Matlamat Kerajaan Negeri bukan sekadar menarik pelaburan asing ke Pulau Pinang, tetapi memastikan syarikat tempatan turut berkembang dan mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri.
“Kita mahu lebih banyak syarikat tempatan meningkatkan keupayaan teknologi, menjadi pembekal serta rakan strategik kepada syarikat multinasional,” tambahnya.
Dalam usaha memperkukuh keupayaan industri tempatan, sebanyak 153 syarikat dikenal pasti merangkumi sektor kejuruteraan berketepatan tinggi, mesin dan peralatan, teknologi perubatan, Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) serta penyelesaian automasi.
Selain itu, usaha peluasan pasaran turut diteruskan menerusi penyertaan tujuh syarikat dan 11 usahawan dalam Vietnam Foodexpo 2026 pada 11 sehingga 14 November ini bagi memperkenalkan produk Pulau Pinang serta membina jaringan dengan bakal pembeli dan pengedar di Vietnam dan rantau ASEAN.
Usaha meneroka pasaran baharu turut membuahkan hasil menerusi kerjasama perdagangan dengan Indonesia yang diperkukuh melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai indikatif USD5 juta bagi tempoh lima tahun, susulan penyertaan Pulau Pinang dalam Pekan Raya Sumatera Utara (PRSU) 2026.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS