Pelantikan semula TYT penuh istiadat

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT – Istiadat pelantikan semula dan majlis mengangkat sumpah Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT) dalam tempoh dua tahun lagi buat kali yang ke-enam dilangsungkan di Seri Mutiara di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman diiringi Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang serta anggota kerabat istiadat yang lain masuk ke dewan utama majlis dengan alunan muzik tradisional Melayu yang dikenali sebagai “Nobat”.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus memulakan istiadat pengumuman pelantikan, disusuli majlis ikrar serta
Manandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Abdul Rahman, yang disaksikan oleh Hakim Utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mewakili pemimpin Kerajaan Negeri serta rakyat Pulau Pinang kemudiannya melafazkan ikrar ketaatan yang tidak berbelah-bahagi kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong serta Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di depan Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Selepas itu, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memimpin bacaan doa, seterusnya, acara pegawai istiadat memohon keizinan daripada Abdul Rahman untuk menamatkan majlis rasmi dan jamuan tengah hari.

Guan Eng dalam ucapannya memberitahu bahawa perpaduan kebangsaan, pertumbuhan ekonomi, keharmonian sosial dan pembangunan lestari di negeri ini mampu merealisasikan “Impian Pulau Pinang” yang digagaskan oleh pentadbirannya.

“Pulau Pinang berjaya menarik jumlah pelaburan sebanyak RM8.16 bilion pada tahun 2014 berbanding dengan RM3.91 bilion pada tahun 2013.

“Keyakinan pelabur memang terserlah apabila pelaburan negeri ini mencatat RM48.2 bilion untuk tempoh tujuh tahun di antara 2008 hingga 2014, iaitu 93.6% lebih tinggi daripada RM24.9 bilion semasa tempoh tujuh tahun sebelum ini (2001-2007).

“Dalam tempoh enam tahun ini (2008-2013), lebihan belanjawan terkumpul bagi Pulau Pinang berjumlah RM453 juta, yang jauh melebihi lebihan belanjawan terkumpul 50 tahun sebelum ini (1957-2007) sebanyak RM373.6 juta.

“Impian Pulau Pinang komited untuk dicapai…kita semua harus mengimpikan impian yang sama,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Barisan Exco Kerajaan Negeri, semua ADUN dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri turut menyaksikan majlis penuh istiadat berkenaan.

} else {