Kontraktor Bumiputera dapat 94% daripada nilai kontrak KN

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Jumlah kontrak dikeluarkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang sebanyak RM8.3 bilion sepanjang tujuh tahun sejak 2008 adalah lebih besar daripada keseluruhan nilai projek yang diberikan sepanjang 50 tahun oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) sebelum 2008.

Daripada nilai projek RM8.3 bilion tersebut, RM7.8 bilion diberikan secara tender kompetitif terbuka, manakala bakinya sebanyak RM496 juta adalah secara sebutharga.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataan bertulisnya dan juga sidang akhbar yang diadakan di sini baru-baru ini.

Katanya, RM7.8 bilion atau 94 peratus daripada nilai projek Kerajaan Negeri berjumlah keseluruhan RM8.3 bilion telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

“Ini sekaligus menangkis fitnah dan penipuan oleh pemimpin UMNO dan BN yang cuba mainkan sentimen perkauman bahawa kontraktor Bumiputera tidak dijaga oleh Kerajaan Negeri atau tak mendapat kontrak Kerajaan Negeri PR” tegas beliau.

Guan Eng memberitahu, kemampuan Kerajaan Negeri PR mengeluarkan projek bernilai RM8.3 bilion dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri adalah bergantung kepada sistem urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang membolehkan pengurusan yang bersih dan amanah.

Mengulas lanjut, katanya, sejumlah 6,095 projek secara tender terbuka dan sebut harga telah ditawarkan sejak tahun 2008 hingga 2014.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,688 projek ditawarkan kepada kontraktor Bumiputera dengan nilai kontrak berjumlah RM7,814,155,851.16 bersamaan 94 peratus dari jumlah keseluruhan perolehan Kerajaan Negeri.

“Ini jelas memperlihatkan sejumlah 94 peratus projek dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera secara tender terbuka, manakala baki enam peratus lagi atau 407 projek dengan nilai RM496,354,874.44 ditawarkan kepada kontraktor bukan Bumiputera.

“Suka saya jelaskan, bahawa sejak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih, jumlah kontraktor Melayu yang menerima kontrak meningkat lapan kali ganda berbanding sebelumnya,” ujar beliau.

}