Pelbagai acara menarik menanti pengunjung sempena sambutan Hari Wanita KADUN Batu Uban, 8 & 9 Mac

Admin
A.Kumaresan empat dari kiri) bersama wakil pihak terlibat dalam sambutan Hari Wanita mempromosikan sambutan tersebut selepas sidang media hari ini.

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan sambutan Hari Wanita Sedunia yang akan diraikan esok (8 Mac).

Jelasnya, Pusat Khidmat KADUN Batu Uban bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) KADUN Batu Uban, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu bagi menjayakan sambutan berkaitan.

“Esok (8 Mac) kita akan adakan Flash Mob di pintu utama Kompleks Bukit Jambul pada jam 12:30 tengah hari sehingga 1:00 petang dengan tema pakaian putih dan biru turquoise…manakala pada sebelah malam pula kita adakan Santai BBQ di Pusat Khidmat KADUN Batu Uban.

“Turut diselitkan diskusi kongsi seni perkahwinan bersama-sama Sara Ayuni (aktivis) dan tayangan filem ‘Help’…jadi jom meriahkan kerana kita adakan sambutan selama dua hari iaitu esok dan hari Sabtu (9 Mac) bagi acara kemuncak,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi JPWK KADUN Batu Uban, Tan Teen Choo; wakil Penggerak Komuniti Muda (PEKA) dan Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Nibong Kecil.

Tambahnya lagi, acara kemuncak sambutan akan diadakan di Konkos Summer Wing, Kompleks Bukit Jambul dan bakal dirasmikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

“Antara pengisian program pada hari tersebut (9 Mac) adalah Zumba In Purple, pertunjukkan seni bela diri, demonstrasi masakan, membuat kraftangan rotan, kaunter i-Sejahtera dan Bantuan Sara Hidup bagi tujuan pengemaskinian, pemeriksaan kesihatan dan gerai usahawan.

“Oleh itu, saya minta rakyat Pulau Pinang khususnya warga Batu Uban datanglah beramai-ramai ke sambutan ini untuk memeriahkan Hari Wanita Sedunia,” kata Kumaresan lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI