SEBERANG JAYA – Genap 50 tahun penubuhannya sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal mengangkat sambutan Jubli Emas menerusi pelbagai program yang menggabungkan elemen kesihatan, sukan, kebudayaan, komuniti serta inovasi.
Sambutan Hari Bandaraya MBSP dan Penubuhan MBSP sebagai PBT ke-50 tahun (1976–2026) itu akan berlangsung pada 17 Oktober 2026 di Ibu Pejabat MBSP, Bandar Perda dekat sini.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar meraikan perjalanan lima dekad MBSP, malah menjadi wadah untuk menghargai penglibatan warga kerja serta komuniti dalam membentuk Seberang Perai yang lebih dinamik dan sejahtera.
“Antara pengisian utama ialah Fun Walk sejauh tiga kilometer, pertandingan pakaian tradisional serta Karnival Sukan Rakyat yang mengetengahkan permainan tradisional seperti tarik tali, baling tin, isi air dalam botol, membawa bola menggunakan sudu dan lari dalam guni.
“Program-program ini diadakan bagi menyemarakkan semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat selain memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan warga MBSP dan masyarakat.
“Turut akan dianjurkan ialah Kenduri Rakyat menerusi konsep ‘Jom Makan Bersama MBSP’, yang menghimpunkan warga MBSP dan komuniti untuk menikmati jamuan makan tengah hari dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan hubungan antara PBT dengan masyarakat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-627 (Bil.9 2026) di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP pagi tadi.
Selain meraikan sejarah dan pencapaian lima dekad, Baderul Amin memaklumkan bahawa sambutan tersebut turut memberi ruang kepada pelbagai jabatan MBSP untuk mengetengahkan pencapaian serta inovasi dalam aspek teknologi, pengurusan sisa, perkhidmatan digital dan program komuniti.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bukit Mertajam Festival 2026 turut dianjurkan pada 17 dan 18 Oktober di Jalan Stesen, Pekan Bukit Mertajam, dari jam 5 petang hingga 11 malam.
Festival buat julung kalinya itu mengetengahkan elemen kesenian, kebudayaan dan warisan menerusi konsep persembahan seni jalanan, sekali gus menjadi antara usaha MBSP menghidupkan suasana Pekan Bukit Mertajam melalui aktiviti seni dan budaya.
Penganjuran tersebut turut berperanan sebagai platform untuk memangkin ekonomi masyarakat tempatan menerusi penglibatan penggiat seni, peniaga dan komuniti setempat, selain mempromosikan Bukit Mertajam sebagai destinasi seni, budaya dan warisan.
“MBSP mengalu-alukan kehadiran seluruh pemegang taruh dan komuniti Seberang Perai untuk bersama-sama memeriahkan festival berkenaan serta menyokong usaha memperkasakan Pekan Bukit Mertajam sebagai ruang komuniti yang aktif, inklusif dan dinamik.
“Sambutan Jubli Emas MBSP diharap menjadi detik bermakna untuk menoleh kembali perjalanan lima dekad perkhidmatan, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan antara MBSP dan masyarakat dalam melakar masa depan Seberang Perai yang lebih mampan dan berdaya huni,” ujarnya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN