SEBERANG JAYA – Seorang individu didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 14 September 2026 kerana tidak mematuhi notis supaya memulihkan semula tanah kepada keadaan asal susulan pemajuan tanpa kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid memberitahu bahawa tindakan pendakwaan itu diambil susulan kesalahan di bawah Seksyen 27(2)(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Menurut beliau, Orang Kena Saman (OKS) didapati menjalankan pemajuan tanpa kebenaran merancang membabitkan aktiviti menjadikan tanah sebagai lot lidi di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT).
“MBSP menegaskan bahawa sebarang pemajuan tanpa kebenaran merancang merupakan satu kesalahan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kelulusan MBSP sebelum menjalankan sebarang aktiviti pemajuan serta mematuhi segala notis dan syarat yang ditetapkan,” katanya ketika mempengerusi Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-627 (Bil. 9/2026) di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP, dekat sini sebentar tadi.
Beliau berkata, perhatian khusus perlu diberikan terhadap aktiviti berkaitan lot lidi, susulan risiko pemajuan sedemikian yang boleh menjejaskan pembangunan terancang serta kepentingan awam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran atau pemajuan lot lidi yang tidak mematuhi keperluan perancangan dan perundangan.
“MBSP akan terus mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.
“Tindakan ini mencerminkan komitmen MBSP dalam memastikan setiap aktiviti pembangunan di Seberang Perai dilaksanakan secara terancang, mematuhi undang-undang serta mengambil kira kepentingan dan keselamatan masyarakat,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN