GEORGE TOWN – Penang FC terpaksa akur apabila tewas tipis 0-1 kepada Imigresen FC di Stadium Bandaraya, semalam.

Namun, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail yakin bahawa semangat juang pemain muda skuad Harimau Kumbang terus menjadi isyarat positif terhadap usaha pasukan dalam memperkukuh prestasi menjelang aksi seterusnya menentang Sabah FC.
Penang FC memulakan aksi dengan penuh disiplin, mengawal tempo permainan serta mencipta beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan, namun gagal disudahkan dengan jaringan.
Sebaliknya, Imigresen FC yang masih memburu kemenangan pertama musim ini memanfaatkan satu peluang keemasan pada babak kedua untuk menamatkan kemarau tiga mata.
Keputusan terikat tanpa jaringan sehingga minit ke-45 saingan pada separuh masa pertama perlawanan, sungguhpun pasukan tuan rumah dan pasukan pelawat masing-masing kian berusaha rentak persembahan.
Walau bagaimanapun, gol tunggal pelawat hadir apabila sepakan jarak jauh Mohd. Fadzul Danel Mohd. Nizam ditepis penjaga gol Penang FC, Mohamad Ramdhan Ab. Hamid, sebelum ‘bola muntah’ disambar pantas Wilmar Jordan Gil pada minit ke-68.
Walaupun pengadil, Mohamad Nawal Mohammad Zubir memberikan tambahan masa lima minit, Penang FC terus mencari gol penyamaan tetapi keputusan kekal memihak pelawat sehingga tamat perlawanan.
Mengulas keputusan itu, Wan Rohaimi tetap memuji semangat ditunjukkan anak buahnya, namun mengakui ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama ketika pasukan terdesak mencari jaringan.
“Mereka mula panik dan mendesak bola ke depan; apabila terlalu mendesak, risiko hilang bola di kaki semakin besar dan di situ kita dihukum,” katanya kepada Buletin Mutiara.
Menurutnya, Penang FC akan menggunakan tempoh rehat tiga minggu sebelum pertemuan menentang Sabah FC untuk memperkemas semula taktikal dan penyudah pasukan.
“Banyak perkara boleh dipelajari daripada perlawanan pada malam ini, kita tidak jauh ketinggalan cuma perlu sedikit sentuhan akhir dari segi ketenangan dan ketajaman di hadapan gol,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Imigresen FC, Ahmad Shahrul Azhar Sofian memuji ketahanan pasukannya mengekang asakan Penang FC hingga ke akhir permainan.
“Separuh masa pertama kami bermain baik, tetapi pada separuh masa kedua (dengan lima minit masa tambah), kami tidak dapat mengawal rentak perlawanan (Penang FC).
“Gol offside yang dibatalkan kepada Penang FC sedikit sebanyak memberikan tekanan, tapi kami kekal fokus hingga tamat,” katanya.
Penang FC dijadualkan menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 23 November depan, dengan misi memburu kebangkitan dan tiga mata penting bagi memperbaiki kedudukan Liga Super 2025/2026.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB