Pemasangan bidai legakan peniaga Kompleks Annex (Makanan) Pasar Awam Air Itam

MELEGAKAN… Peniaga minuman di Kompleks Annex (Makanan) Pasar Awam Air Itam,  Siti Maisarah Baharudin menarik nafas lega apabila permohonan untuk memasang bidai direalisasikan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Maisarah  berkata, sebelum ini segelintir peniaga membuat aduan berkaitan cahaya terik matahari yang membahang secara terus ke gerai yang menghadap Jalan Paya Terubong dan menimbulkan rasa kurang selesa.
“Terima kasih saya ucapkan kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan pihak Majlis yang sudi mendengar keluhan kami, lepas ini boleh berniaga dengan lebih selesa,” katanya kepada Buletin Mutiara yang juga merupakan generasi ketiga berniaga di situ.
Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Soo Siang dalam pada itu memberitahu bahawa bidai yang dipasang tersebut bakal dihiasi dengan lukisan dalam masa terdekat agar ia kelihatan lebih menarik.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING