Pemasangan lebih banyak AED mampu selamatkan nyawa akibat serangan jantung

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berharap agar penambahan pemasangan Automated External Defibrillator (AED) di tempat-tempat awam mampu menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku serangan jantung.

 

 

Katanya, AED kini dilihat menjadi satu keperluan penting dan kemudahan yang perlu ada di tempat awam untuk capaian lebih mudah sekiranya berlaku kecemasan.

 

 

“Oleh itu pihak Pusat Khidmat DUN Air Itam mengambil inisiatif menyumbang RM4,400 iaitu separuh daripada kos keseluruhan RM8,800 bagi pemasangan AED di Shineville Park.

 

 

“Sebenarnya permohonan telah disuarakan sejak tahun 2020 lagi, namun tidak sempat berbuat demikian kerana fokus melawan COVID-19, dan hari ini kita berjaya merealisasikannya.

 

 

“Pemasangan terbaru di Shineville Park hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mesin AED yang ada di kawasan Air Itam adalah sebanyak 19 unit,” ujar Soon Siang kepada pemberita sejurus menyampaikan mesin tersebut kepada badan pengurusan Shineville semalam.

 

Hadri sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Wei Seang dan Ooh Sin Hwa, Pengerusi Penang Heart Safe Society (PHSS), Dato’ Dr. Luah Lean Wah; Penyelia Bangunan, Mohd. Khaliff Abd. Aziz; wakil Community Emergency Response Team (CERT) George Town, Ong Swee Jin serta wakil St. John Ambulans Malaysia Pulau Pinang.

 

 

Pada sesi tersebut, CERT George Town turut melakukan demonstrasi pertolongan cemas menggunakan AED.

 

 

Difahamkan, mesin AED tersebut diletakkan di pos kawalan keselamatan bagi memudahkan pertolongan cemas dilakukan sama ada melibatkan komuniti mahupun orang awam.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING