Ketua Menteri, Ketua Pengarah AADK bincang kes pencegahan penagihan dadah

Admin
SUTEKNO Ahmad Belon (tengah) diiringi Elmariah Chung (kiri) menerima cenderamata daripada Ketua Menteri selepas kunjungan hormat di Komtar tadi.

GEORGE TOWN – Jumlah mereka yang menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Negeri Pulau Pinang bagi sepanjang tahun 2021 meningkat kira-kira 9 peratus berbanding rekod tahun sebelumnya.

Demikian maklum balas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon semasa kunjung hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 18 April 2022.

Turut mengiringi, Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung serta dua pegawai agensi berkaitan.

Dalam pertemuan selama hampir 30 minit tersebut, Sutekno turut memberitahu bahawa rata-rata mereka yang berkenaan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di rumah masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Secara umum, kira-kira 22 peratus secara sukarela minta dipulihkan, manakala baki masuk (ke pusat pemulihan) mengikut perundangan,” jelasnya kepada Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di sini.

Difahamkan, penagih dadah akan disyorkan menjalani rawatan dan pemulihan di PUSPEN sama ada secara sukarela di bawah Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (R&P) 1983 atau melalui perintah mahkamah di bawah seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (R&P) 1983.

PUSPEN turut menerima kemasukan klien remaja di bawah peruntukan seksyen 9 Akta Penagih Dadah (R&P) 1983.

Pada majlis sama, Elmariah Chung turut membentangkan pelan perang saraf yang sedang giat dilaksanakan oleh AADK Negeri termasuk ‘Anjung Komuniti’ iaitu program kempen penerangan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah terutama di tujuh mukim tumpuan yang telahpun dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’ (hotspot).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAR OMAR