Pembaikan kekal cerun Jalan Tun Sardon belum dapat dimulakan, perlukan dana JKR – Exco

Admin
05b46d57 7afb 43fa 97be 921be2fd2f7c BEBERAPA anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang membersihkan Jalan P14 (Jalan Tun Sardon) seusai kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sementara siap, sebelum dibuka kembali pada jam 8.00 malam 31 Oktober 2025.

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa kontraktor yang dilantik masih menjalankan kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di laluan P14 Jalan Tun Sardon di sini.

screenshot
ZAIRIL Khir Johari

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memaklumkan bahawa projek pembaikan kekal cerun masih belum dapat dimulakan kerana memerlukan kelulusan peruntukan rasmi pada peringkat Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

“JKR telah memohon peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan kekal di sepanjang Jalan Tun Sardon.

“Selain itu, JKR juga telah mengemukakan permohonan bagi 17 lokasi cerun kepada CKC JKR Malaysia.

“Projek pembaikan kekal cerun masih belum bermula kerana memerlukan kelulusan peruntukan secara rasmi di peringkat CKC,” jelasnya kepada Buletin Mutiara pada 4 November 2025.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran utama dalam projek pembaikan cerun tersebut adalah faktor cuaca serta kos yang tinggi bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

31fec5a8 a51f 4fd6 8cd9 ccad6471f8b2
KERJA-KERJA membersihkan jalan termasuk pemecahan batuan serta pengalihan dahan dan pokok di Jalan P14 (Jalan Tun Sardon) susulan runtuhan cerun yang terjadi pada 23 Oktober 2025 di sini.

Pada 23 Oktober lalu, Jalan P14 (Jalan Tun Sardon) terpaksa ditutup akibat runtuhan cerun. Laluan itu dibuka semula pada pukul 8.00 malam, 31 Oktober 2025, selepas kerja-kerja pembersihan jalan termasuk pemecahan batuan serta pengalihan dahan dan pokok selesai.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB