‘Pembangkang’ mungkin baru bangun tidur, seloroh ADUN DAP

Admin
DANIEL Gooi Zi Sen

“Presiden parti pembangkang berkenaan mungkin baru bangun dari tempat tidurnya serta dalam dilema.”

Demikian reaksi spontan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen semasa diminta mengulas mengenai tuduhan pemimpin pembangkang tersebut yang konon-konon Kerajaan Negeri gagal mewujudkan pembangunan seimbang antara bahagian Pulau dan Seberang Perai.

Kata presiden sebuah parti pembangkang berkenaan, Kerajaan Negeri yang diterajui DAP lebih mengutamakan projek terowong bawah dasar laut sehingga mengetepikan serta tidak membangunkan projek pelabuhan negeri.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata bahawa di sebalik projek terowong bawah dasar laut yang mahu dilaksanakan oleh pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow itu, seakan-akan tidak mendapat ‘restu’ pada peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Ada pergolakan politik di Pulau Pinang yang mana projek (terowong bawah dasar laut) itu cuba dinafikan serta tidak mendapatkan ‘restu’ dan kelulusan berkaitan pada peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Walhal, pihak Pelabuhan Pulau Pinang pula, mereka bersetuju dengan projek terowong bawah dasar laut itu dengan syarat-syarat tertentu.

“Bagi saya, tidak tepat sekiranya Kerajaan Negeri hari ini dituduh gagal menyediakan pembangunan yang teliti dan seimbang kerana RM15 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan yang dicatatkan masuk ke negeri ini (bagi tahun 2019) adalah paling tinggi (berbanding negeri-negeri lain),” jelasnya semasa dihubungi pemberita Buletin Mutiara pada 6 April 2022.

GOH Choon Aik

Nada hampir sama turut dikongsi oleh ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

“Sejak tahun 2018, YAB Ketua Menteri (Tuan Chow Kon Yeow) mengumumkan bahawa Seberang Perai adalah masa depan pembangunan Pulau Pinang.

“Sejak itu, limpahan pembangunan di bahagian Seberang Perai begitu ketara seperti projek penaiktarafan beberapa jalan raya di Bukit Minyak, Sungai Udang, jambatan yang merentasi Sungai Kerian dan sebagainya.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga ada naik taraf balapan Stadium Negeri Pulau Pinang (dekat Batu Kawan) dan Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP Jalan Betek; naik taraf jeti nelayan (di Kampung Changkat, Jawi dan di Datuk Keramat, Sungai Acheh); siap membina SP Arena dan Dewan Orang Ramai Permatang Pasir dan tidak lama lagi akan siap projek Butterworth Arena.

“Dalam Minggu Pulau Pinang bersempena Exspo Dubai pada bulan Januari lepas, tiga dari empat projek kita pamerkan adalah mengenai pelaburan di Batu Batu Kawan.

“Jadi, bagi saya kenyataan pemimpin pembangkang berkenaan adalah tidak asas sama sekali, lebih pada mencari publisiti murahan.

“Mungkin beliau derita apabila menyedari pelbagai limpahan pembangunan dalam bentuk projek infrastruktur awam dinikmati rakyat Pulau Pinang di bahagian Seberang Perai ini, berbanding rekod pembangunan semasa mereka menguasai Kerajaan Negeri dahulu (sebelum Mac 2008),” ulasnya.

P. David Marshel

Sementara itu, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel pula berpendapat bahawa sepatutnya presiden parti pembangkang berkenaan boleh menunjukkan suatu dokumen pembangunan masa hadapan yang lebih seimbang antara bahagian Pulau dan Seberang Perai, berbanding Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dikemukakan semasa Kerajaan Negeri hari ini.

“Semasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikuasai parti tersebut, di Seberang Perai sendiri dapat dilihat lima atau enam kompleks pusat membeli-belah yang akhirnya terbengkalai.

“Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dinaik taraf menjadi ‘bandar raya’ juga selepas mereka menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

“Jadi, bagi saya, tuduhan tersebut adalah sama sekali tidak tepat, dan jika Pulau Pinang pada era parti tersebut mentadbir adalah lebih baik berbanding hari ini (pasca 2008), mesti ada dokumen pembangunan masa hadapan untuk dibandingkan dengan PTMP dan cadangan membina projek terowong bawah dasar laut yang sebenarnya untuk menangani kesesakan trafik pada waktu puncak.

“Lagi satu, Taman Perindustrian Batu Kawan dan Taman Perindustrian Bukit Minyak adalah bandar baharu yang wujud selepas parti tersebut juga menjadi pembangkang, bagaimana dia boleh mengada-adakan cerita politik kononnya penduduk Seberang Perai derita sebab DAP tak buat perancangan (pembangunan masa depan negeri) secara teliti,” jelasnya lagi.

P. Kasthuriraani

Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani yang dihubungi kemudian berkata presiden parti pembangkang berkenaan sewajarnya ‘cermin diri’ sebelum memburuk-burukkan imej Kerajaan Negeri hari ini.

“Sepatutnya dia ‘cermin diri’ kerana Pulau Pinang pernah digelar ‘Darul Sampah’ semasa Kerajaan Negeri dikuasai mereka.

“Jadi, saya rasa kenyataannya itu mungkin untuk meraih sokongan politik sempena PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15); tetapi pentadbiran Ketua Menteri (Kon Yeow) telah mempunyai pelan pembangunan masa depan sehingga tahun 2030 yang dikenali sebagai Penang2030, bukan setakat nak raih politik apabila musim PRU tiba.

“Seberang Perai khususnya kawasan Parlimen yang saya wakili iaitu Batu Kawan, sekarang ada pelbagai mercu pembangunan yang dapat dirasai penduduk Seberang Perai…bukan sahaja peluang pekerjaan ada begitu banyak apabila ada banyak industri di Batu Kawan

“Malah, uniknya Batu Kawan kerana di sini juga ada kawasan ternakan, pelancongan desa seperti di Pulau Aman, dan akan menjadi kawasan penempatan paling besar dengan projek pembinaan rumah mampu milik tidak lama lagi.

“Di samping itu, kalau parti pembangkang berkenaan mahu Seberang Perai dan bahagian Pulau mengecapi pembangunan, mereka bukan sahaja patut mendesak Putrajaya untuk memudahkan projek terowong bawah dasar laut, malah transit aliran ringan (LRT) kerana kesesakan trafik di negeri ini memang perlu ditangani secara bersama,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 5 April 2022, presiden sebuah parti pembangkang di sini mendakwa penduduk Seberang Perai menderita ekoran langkah Kerajaan DAP di negeri ini tidak membuat perancangan teliti dan seimbang untuk pembangunan masa depan Pulau Pinang.

Memetik laporan sebuah portal berita arus perdana, presiden parti pembangkang berkenaan antara lain berdalih Kerajaan Negeri hari ini lebih mengutamakan projek terowong bawah dasar laut berbanding projek pelabuhan negeri yang konon-konon diketepikan serta tidak dibangunkan.