Pembayaran cukai taksiran dilanjut hingga 31 Mac depan

Admin
0790a376 d7ad 4b38 b75a b19bb492c478

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi lanjutan tempoh pembayaran cukai taksiran bagi separuh tahun pertama sehingga 31 Mac 2026.

Lanjutan itu adalah susulan peratusan yang melanggan eBil masih rendah dan analisis menunjukkan sebilangan pembayar cukai masih menunggu bil cukai taksiran secara fizikal.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata setakat 22 Februari 2026, cuma 20.86 peratus pembayar cukai berdaftar melalui eBil bersamaan  66,900 pendaftar berbanding 320,690 jumlah harta di kawasan seliaan MBPP.

“Pada 22 Februari 2025, jumlah cukai taksiran dikutip adalah berjumlah RM81,329,664.47 bersamaan 63.48 peratus pembayaran.

“Manakala bagi tempoh sama tahun ini, kutipan dicatat cuma RM71,875,196.92 (54.63 peratus), ini menunjukkan penurunan sebanyak RM9,454,467.55,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 3 Tahun 2026 di Dewan Bandaran, Padang Kota di sini pagi tadi.

Terdahulu, MBPP memutuskan penamatan penghantaran bil cukai taksiran secara fizikal mulai tahun 2026 selepas perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan Bilangan 11 Tahun 2024.

Sehubungan kelulusan tersebut, Majlis telah melaksanakan kempen promosi dan hebahan penamatan penghantaran bil cukai taksiran secara fizikal bermul Disember 2024.

“Bermula Januari 2026, penghantaran bil fizikal cukai taksiran telah ditamatkan sepenuhnya dan penghantaran hanya dilakukan menerusi kaedah eBil bagi cukai taksiran.

“Penghantaran bil cukai taksiran hanya dihantar kepada para pemilik harta yang mendaftar eBil menerusi e-mel berserta notifikasi peringatan pengeluaran melalui SMS,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBPP